Ribut salji sukarkan Mapim hanyat bantuan

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim)
A
A
A

BEKAA - Ribut salji dan suhu di bawah paras beku -6 darjah Celsius adalah cabaran yang perlu ditempuhi delegasi misi bantuan kemanusiaan musim sejuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) ke pergunungan Bekaa dan beberapa penempatan lain pelarian Syria.

Suhu sejuk melampau sehingga jalan raya diliputi salji itu bagaimanapun tidak mematahkan semangat anggota delegasi untuk membantu pelarian Syria mengharungi musim sejuk di khemah-khemah pelarian itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Mapim, Dr Ahmad Sani Araby Al-Kahery berkata pihaknya tetap akan meneruskan perjalanan demi memberi bantuan kepada pelarian Syria yang kesejukan.

“Situasi sejuk yang ekstrem ini langsung tidak mematahkan semangat kami kerana mereka (pelarian Syria) di sana memerlukan bantuan kami.

“Bantuan yang akan dihulur seperti makanan, selimut, pemanas, baju dan khemah diharap dapat membantu mereka mengharungi musim sejuk ini,” katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata bantuan seumpama itu mampu menyelamatkan ribuan pelarian Syria terutama kanak-kanak dan bayi.

Ahmad Sani Araby berkata bantuan perlu dihulurkan segera kerana dikhuatiri ribut salji akan melanda bila-bila masa.

“Mapim merayu kepada rakyat Malaysia agar terus hulurkan bantuan menerusi www. tabungsyria.com kerana bantuan ini dapat menyelamatkan nyawa anak kecil dan keluarga Syria ,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: