Tindakan lebih tegas kepada individu ingkar PKP

Hamzah - Foto Bernama
Hamzah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tindakan lebih 'keras' akan dilaksanakan pada minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terhadap orang ramai yang masih ingkar dengan arahan itu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, untuk minggu pertama PKP sebelum ini, polis mengambil tindakan secara berhemah dan memberi nasihat dengan baik kepada orang awam untuk mengurangkan pergerakan tetapi dalam minggu kedua, penguatkuasaan PKP akan menjadi lebih tegas.

"Sekiranya PKP pada minggu kedua nampak 'kedegilan' orang awam itu bertambah, maka sudah tentu saya sebagai Menteri Dalam Negeri minta supaya semua anggota polis mengambil tindakan dengan lebih tegas.

"Saya hendak maklumkan kami akan ambil tindakan yang lebih tegas, kalau kita bawa mereka ke muka pengadilan nanti untuk dituduh, jangan pula marah polis kerana 'kau' (orang awam) sendiri yang melanggar undang-undang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, untuk minggu kedua PKP, segala arahan yang dibuat masih lagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sama seperti minggu pertama, tetapi pihak polis akan lebih tegas.

"Jangan berdegil sangat... kami minta 'duduk di rumah.' Jika hendak beli keperluan asas, hanya seorang sahaja dibenarkan keluar, arahan untuk duduk di rumah mudah sekali, itu sahaja permintaan kami," katanya.

Hamzah berkata, PKP adalah untuk memastikan segala arahan yang diberikan polis untuk menguatkuasa Akta 342 atau Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 benar-benar dipatuhi rakyat di seluruh negara.

Ditanya sama ada terdapat penambahan anggota polis pada minggu kedua PKP, beliau berkata, jumlah yang telah dikerahkan untuk penugasan koronavirus (Covid-19) setakat ini adalah hampir 40,000 di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, kesemua bot rekreasi yang masih berada di perairan negara untuk aktiviti memancing dan sebagainya, kecuali nelayan, akan diambil tindakan kerana melanggar PKP.

"Bot-bot persiaran tidak dibenarkan untuk berada di perairan negara dalam tempoh PKP, insya-ALLAH kami akan ambil tindakan terhadap mana-mana yang masih berdegil dan keluar ke perairan negara," katanya.

Hari ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa PKP dilanjutkan sehingga 14 April. - Bernama