Peruntukan RM2 juta kepada Kolej Era terus dipersoal

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) mempersoalkan kenyataan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung isu peruntukan khas yang disalurkan secara terus kepada Kolej Era.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, peruntukan khas berjumlah RM2 juta itu yang dikatakan disalurkan terus oleh Kementerian Kewangan jelas menimbulkan banyak persoalan terhadap semangat Malaysia Baharu yang dicanangkan oleh kerajaan PH.

"Dewan Pemuda Ikatan Malaysia berpendapat bahawa KPM tidak perlu membandingkan peruntukan khas ini dengan amalan kerajaan BN yang pernah memberikan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (Tar UC).

"Kenyataan media sebegini jelas menunjukkan sikap kebudak-budakan yang terus menjustifikasikan apa jua perkara yang dibuat oleh kerajaan PH dengan amalan terdahulu yang dilakukan oleh BN.

"Di manakan semangat Malaysia Baharu yang dicanang pemimpin PH? Sikap sebegini bakal menyebabkan rakyat mual dan muak sehingga menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang," katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, Pemuda Ikatan menggesa Kementerian Kewangan untuk bersikap telus dan memberikan penjelasan secepat mungkin kepada seluruh rakyat Malaysia.

Katanya, perkara ini bukan isu perkauman sebaliknya satu isu melibatkan 'pengurusan pentadbiran yang baik' di mana rakyat mahukan kerajaan yang telus.

"Bagaimanakah Kementerian Kewangan memberikan peruntukan khas secara terus, di saat rakyat dicanang bahawa kewangan kerajaan berada di dalam keadaan tenat dek skandal 1MDB?

Artikel Berkaitan:

"Kami berpandangan bahawa perpaduan kaum seharusnya bermula daripada peringkat sekolah. Apabila diasingkan aliran-aliran sekolah, terutama sekolah persendirian Cina, yang tidak mengguna pakai seratus-peratus kurikulum di bawah Kementerian Pendidikan, maka anak-anak Malaysia akan berpecah belah, sejak di bangku sekolah. Dasar sebegini tidak akan menguatkan perpaduan antara kaum," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan satu kenyataan media yang mengemukakan penjelasan berhubung isu peruntukan khas kepada Kolej New Era.

Berdasarkan laporan media, Kolej New Era telah menerima satu peruntukan khas sebanyak RM2 juta daripada kerajaan PH dan KPM menyatakan bahawa peruntukan khas tersebut diberi secara terus oleh Kementerian Kewangan kepada kolej berkenaan tanpa melalui pihaknya.

Untuk rekod, Kolej New Era merupakan sebuah kolej di bawah kelolaan Dong Jiao Zong Higher Learning Center Berhad.

Dong Jiao Zong merupakan suara kepada Pendidikan Cina di Malaysia dan menjadi penggerak utama kesatuan pendidikan aliran Bahasa Cina di Malaysia di mana antara matlamat utama persatuan ini adalah untuk mempromosikan dan membangunkan sistem pendidikan aliran Cina di Malaysia.