Sultan Johor harap rakyat patuhi arahan kerajaan

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor melahirkan harapan agar rakyat dapat mematuhi arahan-arahan dikeluarkan kerajaan dalam usaha membendung segera penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menerusi status terbaharu yang dimuat naik dalam akaun rasmi Faceboook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, baginda sentiasa berdoa agar situasi Covid-19 akan berakhir secepat mungkin.

"Saya sentiasa mengambil maklum perkembangan terkini wabak Covid-19 dan juga usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Susulan kes positif Covid-19 masih berlaku, saya melihat Perdana Menteri mengumumkan pelbagai tindakan serta langkah-langkah khususnya bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Perdana Menteri turut mengumumkan pelbagai inisiatif serta insentif dari semasa ke semasa bagi membantu rakyat khususnya yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19," titah baginda kepada Royal Press Office (RPO).

Baginda kemudian menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana beliau bukan sahaja menggerakkan pelbagai tindakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 malah disifatkan amat memahami denyut nadi rakyat.

Menurut Sultan Johor, langkah Perdana Menteri melakukan pengumuman awal mengenai keputusan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 14 April ini adalah tepat bagi memberi ruang kepada rakyat membuat persiapan awal.

"Malah Perdana Menteri juga telah mengarahkan semua kementerian untuk membuat persiapan rapi bagi mengurus keperluan asas sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa, ini sememangnya suatu tindakan yang baik daripada kerajaan," titah baginda lagi.

Artikel Berkaitan: