X

Kindly register in order to view this article
!

Trump tak endah ancaman Covid-19

Donald Trump
A
A

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump seakan memberi harapan palsu kepada rakyat selepas beliau dengan selamba mengisytiharkan krisis koronavirus (Covid-19) bakal berakhir walaupun kes jangkitan wabak itu kini melonjak di negara terbabit.

Semalam, bilionair hartanah itu turut menggesa rakyat di negara terbabit supaya segera menghentikan langkah jarak hubungan sosial yang merupakan sebahagian langkah untuk membendung penularan Covid-19.

Menurut Trump, langkah jarak hubungan sosial itu kononnya telah memberi impak besar kepada ekonomi sehingga Kongres terpaksa berdebat tentang pakej rangsangan ekonomi bagi menangani krisis terbabit.

Sehingga kini, Presiden ke-45 AS itu enggan menggambarkan virus itu sebagai satu bentuk ancaman seperti dinyatakan pakar penyakit berjangkit terkenal, Dr Anthony Fauci dan pakar kesihatan awam lain.

"Negara kita bukan dibina untuk 'ditutup'. Anda boleh musnahkannya dengan cara menutup negara ini. Saya lebih suka mempunyai negara yang bebas dan tidak sabar untuk meraikan Hari Easter," katanya merujuk kepada sambutan diraikan penganut Kristian untuk memperingati kelahiran semula Jesus Christ pada 12 April depan.

Ketika ini, langkah kuarantin dan jarak hubungan sosial telah dilaksanakan di seluruh AS manakala lebih satu pertiga populasi di negara yang mempunyai kira-kira 327 juta penduduk dikenakan perintah duduk di rumah hingga memberi kesan besar kepada negara ekonomi terbesar di dunia itu.

Pada 16 Mac lalu, pentadbiran Trump mengisytiharkan '15 hari untuk memperlahankan penularan Covid-19' yang bakal berakhir pada awal minggu depan.

Kaji selidik dijalankan Ipsos/Axios mendapati sebanyak 74 peratus rakyat AS tidak lagi menyertai perhimpunan besar manakala 48 peratus membatalkan rancangan perjalanan ke luar negara kerana bimbang dengan pandemik tersebut. - Agensi