MAIPk sedia dana khas RM11.95 juta

MAIPk mengumumkan peruntukan Dana Khas Agihan Zakat berjumlah RM11.95 juta kepada mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19. -Foto Facebook Zakat Perak-MAIPk
MAIPk mengumumkan peruntukan Dana Khas Agihan Zakat berjumlah RM11.95 juta kepada mereka yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19. -Foto Facebook Zakat Perak-MAIPk
A
A
A

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengumumkan peruntukan Dana Khas Agihan Zakat berjumlah RM11.95 juta kepada mereka yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrul Azam Shaari berkata, dana khas tersebut telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diagihkan kepada rakyat terkesan, sekali gus meringankan bebanan rakyat dan membantu usaha pelbagai pihak menghadapi pandemik berkenaan.

Beliau berkata, sumbangan tersebut turut mendapat kerjasama daripada bahagian zakat, beberapa sektor korporat selain peruntukan zakat sedia ada.

"Sultan menyedari dan prihatin bahawa pandemik Covid-19 memberikan kesan langsung kepada kehidupan rakyat terutama dalam kalangan mereka yang tidak berpendapatan tetap dan mereka yang berada dalam kumpulan berpendapatan rendah.

"Oleh itu, baginda menitahkan dan memberi perkenan agar sumber zakat negeri memperuntukkan dana khas bertujuan untuk meringankan beban kesukaran yang sedang ditanggung oleh rakyat ketika ini," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, Shahrul Azam berkata, peruntukan tersebut dipecahkan kepada sembilan kategori penerima dengan peruntukan tertinggi diberi kepada Bantuan Kecemasan Kelangsungan Hidup sebanyak RM5.8 juta.

Katanya, bantuan itu diperuntukkan kepada ketua isi rumah berpendapatan RM2,000 dan ke bawah yang terjejas akibat sumber pendapatan kerana diberhentikan kerja, diberi cuti tanpa gaji, terhenti operasi atau sebab-sebab lain yang munasabah.

Beliau berkata, Bantuan Khas Modal Pusingan berjumlah RM2 juta turut disediakan kepada peniaga, penjaja dan usahawan yang pernah menerima bantuan modal perniagaan daripada MAIPk kerana terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bantuan-bantuan lain adalah seperti Bantuan Kotak Makanan, Bantuan Terputus Bekalan Makanan, Bantuan Pengurusan dan Kebajikan Pelajar Luar Negara.

"Kita juga turut memberikan Sumbangan Khas Petugas Barisan Hadapan Covid-19 berjumlah RM500,000 yang akan disalurkan melalui Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan agensi-agensi lain untuk keperluan kebajikan petugas-petugas ketika bertugas di barisan hadapan.

"MAIPk juga turut memperuntukkan RM1 juta bagi Sumbangan Khas Peralatan Kesihatan dan Perubatan untuk disalurkan kepada hospital-hospital di Perak bagi menampung keperluan peralatan rawatan dan perubatan dalam menangani Covid-19 berdasarkan cadangan atau permintaan dari Jabatan Kesihatan Negeri Perak," katanya.

Dalam pada itu, pihak MAIPk turut menyediakan Sumbangan Khas Peralatan Pencegahan Covid-19 bernilai RM1.5 juta dalam bentuk pembelian peralatan pencegahan penularan seperti topeng muka dan hidung, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman untuk disalurkan kepada masjid, surau dan masyarakat awam di Perak.

Selain itu katanya, sebanyak RM710,000 diperuntukkan bagi Pelan Kontingensi berdasarkan keperluan yang mendesak bagi menampung apa-apa keperluan luar jangka pada masa akan datang.

Khairul Azam menjelaskan, sebarang maklumat lanjut, orang awam boleh melawat laman rasmi Facebook Zakat Perak-MAIPk dan Portal Rasmi MAIPk di pautan http://maiamp.gov.my/.