X

Kindly register in order to view this article
!

Pakar ortopedik berang hand sanitizer hospital hilang

A
A

SHAH ALAM – Pakar Ortopedik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang, Dr Mahyuddin Mohamed berang apabila hand sanitizer di hospitalnya berulang kali hilang.

Dr Mahyuddin berkata, cecair pembasmi kuman itu telah diikat dengan tali kabel namun apa yang mengejutkan ia didapati hilang malam tadi.

“Saya marah dan kecewa. Hand sanitizer yang dah diikat dengan cable wire pun boleh hilang.

“Bukan main cantik lagi perangai anda ye,” tulisnya menerusi ciapan di akaun Twitter beliau malam tadi.

Ciapan beliau yang juga ahli Majlis Perubatan Malaysia mendapat perhatian netizen dan diulang kicau sebanyak 20,200 kali oleh pengguna laman terbabit selain mendapat 13,700 tanda suka.

Menerusi ruangan komen pada ciapan itu, Dr Mahyuddin berkata, penggunaan hand sanitizer sangat penting kepada petugas hospital kerana ia digunakan mereka setiap kali melihat pesakit dan bergerak dari satu katil ke katil pesakit seterusnya.

“Kami amalkan 5 Moments of Hand Hygience bagi meminimumkan risiko tersebarnya jangkitan antara pesakit. Kalau anda ambil hand sanitizer kami, bagaimana kami hendak rawat pesakit dengan selamat dan cepat.

“Kami tahu anda risau dengan Covid-19, kami pun risau juga tapi mengambil hand sanitizer hospital bukan caranya. Anda boleh sahaja basuh tangan dengan sabun selama minimum 20 saat.

“Anda bayangkan jika kami ada 30 pesakit di wad dan enam doktor yang hendak menunggu giliran membasuh tangan setiap kali bergerak dari satu katil ke katil, anda tahu berapa lama kami akan habiskan rondaan wad kami?” soalnya.

Berikutan itu, beliau mengingatkan agar pelawat atau kakitangan hospital itu agar tidak mengambil harta kerajaan.

“Bantu kami untuk bantu anda. Mengambil hand sanitizer kami tidak membantu kami. Anda membantu virus dan bakteria,” katanya kesal.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus