Pemegang pas kerja rakyat Malaysia perlu ada kelulusan MOM Singapura

A
A
A
SINGAPURA - Semua pemegang pas kerja baharu atau sedia ada, termasuk tanggungan, yang merancang memasuki Singapura dari Malaysia, perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) republik itu sebelum memulakan perjalanan mereka.

Menurut kenyataan di laman sesawangnya, MOM berkata, sejurus tiba di Singapura, semua pemegang pas kerja yang terjejas akan diletak di bawah Notis Duduk di Rumah (SHN) mandatori selama 14 hari.

“Ketika memohon kelulusan untuk masuk, majikan dikehendaki mengisytiharkan kepada MOM bahawa mereka telah menyediakan premis perumahan yang sesuai untuk kesemua pekerja ini dan membuat persediaan sewajarnya bagi bekalan makanan kepada mereka sepanjang tempoh SHN,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu turut menasihati majikan untuk memaklumkan pekerja yang terjejas termasuk tanggungan, agar tidak membuat perancangan bagi perjalanan ke Singapura sehingga kelulusan diperoleh daripada MOM.

Majikan akan dikehendaki menghantar surat kelulusan MOM kepada pekerja terbabit yang perlu menunjukkannya kepada staf syarikat penerbangan ketika mendaftar masuk, jika melakukan perjalanan udara dan di pusat pemeriksaan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) sejurus tiba di Singapura.
Artikel Berkaitan:


Bagaimanapun MOM berkata, mereka yang terlibat dengan perkhidmatan penting atau penghantaran bekalan seperti pemandu lori, pemandu trak bekalan sayur-sayuran, pemandu trak bekalan makanan sejuk beku menerusi jalan laut dan darat akan dikecualikan daripada mendapatkan kelulusan MOM untuk memasuki republik itu dan syarat-syarat SHN.

Ini susulan kata sepakat yang dicapai oleh Jawatankuasa Kerja Khas Singapura-Malaysia bahawa pengangkutan semua jenis barangan antara kedua-dua negara akan dipermudah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Malaysia, menurut kenyataan itu.

Tempoh asal PKP yang akan berakhir pada 31 Mac telah dilanjutkan sehingga 14 April, umum Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. - Bernama