Tiada lagi minta habuan

Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Zamri Yusof (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Mukhriz.
Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Tenaga, Zamri Yusof (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Mukhriz.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah memberi jaminan tidak akan ada lagi mana-mana pihak mewakili kerajaan negeri yang akan meminta sebarang bentuk imbuhan, habuan ataupun rasuah dalam urusan kontrak.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau berharap kontraktor untuk membuat laporan sekiranya ada pihaknya mewakili kerajaan yang memintanya.

Katanya, jikalau ada yang meminta, beliau berharap golongan berkenaan tidak segan untuk melaporkan perkara sedemikian kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) secepat mungkin.

“Kerajaan negeri memberi jaminan tidak akan ada lagi mana-mana pihak mewakili kerajaan negeri yang akan meminta sebarang bentuk imbuhan, habuan ataupun rasuah dalam urusan kontrak.

“Pihak kami tidak akan minta, tetapi jikalau ada yang minta juga. Jangan segan untuk laporkan perkara itu kepada SPRM segera,” katanya ketika berucap dalam Majlis Minum Petang dan Taklimat bagi Kerja Undi Kedah 2019 bersama Kontraktor G1 di Dewan Seri Mentaloon, di sini, semalam.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, beliau akan memecat individu terlibat dari jawatan mereka sekiranya perkara terbabit sampai ke pengetahuannya.

“Di pihak tuan puan pula, janganlah tawarkan ataupun hulur kepada mereka, salam berisi tu tak payah. Salam kosong pun tak apa, tetapi buatlah kerja sebaik-baiknya,” katanya.

Mukhriz berkata, kontraktor diharapkan tidak takut untuk membuat laporan kepada SPRM, malah boleh menghantar salinan perkara terbabit kepada dirinya kerana beliau akan merujuk kepada SPRM nanti.

Artikel Berkaitan:

“Yang ini sajalah cara tuan puan, untuk menurunkan lagi kos. Jadi, kos ada inilah kena belanja dan gunakan dengan berhemah. Salah satunya, pasti amalan rasuah diyahkan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, pemberian tender secara rundingan terus akan dihapuskan secara berperingkat demi memastikan peluang diberikan kepada semua pihak, iaitu melalui undi atau tender terbuka.

“Kita menerima maklumat beberapa projek terbengkalai hingga menimbulkan masalah kepada kerajaan, walaupun kontraktor terlibat sendiri yang meletakkan harga berkenaan, namun dia tidak boleh buat,” katanya.

Sehubungan itu, kata Mukhriz, kontraktor yang bermasalah, misalnya melarikan diri apabila gagal menyiapkan projek akan disenarai hitam dan tidak akan diberi peluang.