Pengorekan punca tanah runtuh di Gunung Jerai

A
A
A

KUALA LUMPUR - Aktiviti pengorekan di kaki Gunung Jerai, Kedah sehingga berlakunya kejadian tanah runtuh Ahad lalu dipercayai dijalankan tanpa permit dan lesen daripada pihak berkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Shahar Effendi Abdullah Azizi, berkata, hasil semakan JMG Kedah, Perlis dan Pulau Pinang mendapati tiada sebarang tenemen mineral (pajakan lombong atau lesen carigali) pernah dikeluarkan pihak berkuasa negeri di kawasan berlakunya insiden itu.

"Berdasarkan semakan rekod ulasan daripada Pusat Sehenti (OSC) di JMG mendapati tiada permohonan kebenaran merancang dan permohonan Permit 4C iaitu ulasan guna tanah bagi pengeluaran permit bahan batuan atau tanah di kawasan kejadian.

"Semakan pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Kedah, mendapati lokasi kejadian dipercayai berlaku di dalam kawasan tanah kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian itu sememangnya berpunca daripada aktiviti pengorekan dan bukan disebabkan faktor bencana geologi semula jadi.

"Semasa kejadian tanah runtuh berlaku, keadaan cuaca adalah baik dan tiada hujan. Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dalam keadaan cerun yang stabil dan cuaca baik.

"Pada jam 1.15 tengah hari, Isnin lepas, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan setelah kesemua mangsa berjaya ditemui," katanya.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, lubang korekan tanah dianggar melebihi kedalaman 12 meter dengan ukuran bukaan sehingga 20 meter dan 15 meter mengakibatkan ketidakstabilan pada dinding lubang korekan.

Artikel Berkaitan:

"Puing runtuhan dinding korekan ini terdiri dari tanah berpasir dan bongkah batuan dengan diameter antara 30 cm sehingga tiga meter. Topografi cerun semula jadi secara keseluruhan berkecuraman sekitar 20 darjah," katanya.

Shahar Effendi berkata, pihak Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyarankan kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) untuk menyiasat bagi mengesahkan aktiviti pengorekan tanah berkenaan.

“Ia memandangkan penguatkuasaan aktiviti pengorekan haram untuk mineral di bawah bidang kuasa kerajaan negeri Kedah iaitu di bawah Enakmen Mineral Kedah 2004,” katanya.

Isnin lalu, dilaporkan dua lelaki yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh itu yang berlaku pada Ahad dipercayai sedang melakukan kegiatan menggali emas dan kedua-dua mangsa menjalankan aktiviti berkenaan di tapak pengorekan tersebut sejak 10 tahun lalu. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: KSM siasat kes tanah runtuh di Gunung Jerai