Cadang aktiviti masjid, surau termasuk solat Jumaat ditangguhkan lagi

A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri mencadangkan supaya aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan sehingga berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelas beliau, cadangan itu adalah selaras dengan Resolusi Dalam Talian Ahli-Ahli Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 20 Mac 2020.

"Resolusi tersebut ialah penangguhan semua aktiviti masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah sebelum ini, adalah dilanjutkan sehingga 31 Mac 2020 atau mengikut apa-apa ketetapan yang diputuskan oleh Kerajaan Malaysia dari masa ke semasa.

"Bagi perkara kedua, saya menyerahkan pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa agama Islam di setiap Negeri.

"Saya juga mengharapkan semua umat Islam dapat mematuhi arahan ini dengan menunaikan solat Zohor pada hari Jumaat dan juga solat fardhu di rumah atau di tempat masing-masing," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melanjutkan tempoh PKP selama dua minggu lagi iaitu sehingga 14 April depan.

Zulkifli berkata, keputusan itu juga selaras dengan titah perintah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah agar rakyat jelata mendirikan solat di rumah atau di tempat masing-masing.

"Saya menyeru seluruh umat Islam untuk menyahut titah Yang di-Pertuan Agong. Hal ini amat penting bagi memutuskan rantaian wabak berkenaan di seluruh negara, dengan izin ALLAH SWT," katanya.

Artikel Berkaitan: