Anjakan paradigma ekonomi yang berani perlu untuk tewaskan Covid-19

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

Kemunculan pandemik koronavirus adalah sesuatu yang baru dalam sejarah Malaysia. Perintah Kawalan Pergerakan diperlukan untuk mengatasi pandemik. Tetapi pemulihan ekonomi tidak akan dicapai melalui rangsangan ekonomi konvensional.

Respons ekonomi bagi mengatasi kesan Covid-19 yang diumumkan baru-baru ini, akan gagal.

Selain daripada peruntukan untuk Kementerian Kesihatan, pakej ekonomi yang diumumkan masih belum cukup bagus dan penyelesaian yang diberikan agak terhad.

Pengumuman kerajaan supaya ahli KWSP mengeluarkan RM500 sebulan selama setahun dari simpanan persaraan mereka telah dikritik secara meluas.

Mengapa? Ini berlaku kerana ramai rakyat Malaysia menerima gaji yang tidak setimpal, dengan simpanan yang tidak mencukupi dan dianggarkan mempunyai jangka hayat lebih lama.

Pada 2017, hanya 18 peratus ahli KWSP mencapai sasaran simpanan minima sebanyak RM228,000. Institut Penyelidikan Khazanah menganggarkan hampir separuh daripada pencarum KWSP hanya mempunyai simpanan mencukupi untuk mengeluarkan RM500 selama enam bulan.

Penanda aras untuk rangsangan fiskal ialah 4-10 peratus daripada KDNK untuk negara maju. Bahkan jiran kita Indonesia telah mengumumkan stimulus fiskal sebesar 1.4 peratus dari KDNK. Rangsangan fiskal Malaysia hanya 1.2 peratus daripada KDNK jelas tidak mencukupi.

Usaha untuk menyelesaikan masalah ini harus sehingga ke akar permasalahan, kerana pandemik sejagat ini cabaran yang di luar jangkaan semua. Dunia yang semakin kecil dan saling terhubung sebelum ini telah menjadi "terkurung dan terkunci" akibat Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Kesan ke atas Malaysia sebagai sebuah negara kecil dan terbuka yang berdagang adalah besar.

Banyak yang menyamakan cabaran Covid-19 umpama menghadapi peperangan.

Kerjasama kita untuk duduk di rumah bagi menghentikan penyebaran virus ini, walaupun tidak dinafikan keutamaan pada ketika ini, ada harganya, iaitu kemelesetan ekonomi.

Ringkasnya, kita perlu meratakan kedua-dua lengkung pandemik dan kemelesetan ekonomi. Di Malaysia, beratus ribu - bahkan berkemungkinan mendekati angka satu juta seperti yang diberikan oleh Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia.

Ia akan membawa kepada risiko pemberhentian pekerja, pengurangan gaji, dan kehilangan waktu bekerja. Hampir setiap sektor ekonomi akan kehilangan sebahagian besar perniagaannya, pendapatan isi rumah akan terjejas, dan perbelanjaan oleh pengguna dan syarikat akan berkurangan dengan pantas.

Bagaimanakah tindak balas kerajaan? Kembali kepada analogi perang, kita mesti bertindak seperti semasa dan selepas Perang Dunia Kedua.

Koordinasi masa perang diperlukan untuk mencerminkan keadaan yang lebih mendesak. Taklimat oleh Kementerian Kesihatan kepada Majlis Keselamatan Negara perlu ditingkatkan; begitu juga dengan Majlis Tindakan Ekonomi mesti bermesyuarat lebih kerap.

Kita bukan sahaja perlu menangani cabaran-cabaran yang dihadapi oleh pandemik Covid-19 tetapi merebut peluang untuk mengatasi isu-isu yang masih tidak dapat diselesaikan daripada Krisis Kewangan Asia 1997 dan Krisis Kewangan Global 2008.

Ini memerlukan perubahan besar dalam paradigma ekonomi. Jika kita gagal bertindak, bukan sahaja kita yang akan gagal tetapi turut memberi kesan kepada generasi akan datang.

‘GI Bill’ di Amerika Syarikat memberi faedah besar kepada Veteran Perang Amerika menyebabkan jumlah pendaftaran pelajar di universiti dan peningkatan kelas pertengahan bertambah dengan berlipat-kali ganda.

Britain meninggalkan warisan National Health Service dan insurans kebangsaan; dan pengenalan matawang Deutsche Mark di Jerman menghapuskan 90 peratus hutang kerajaan dan swasta, menyumbang kepada "Miracle of the Rhine" yang menjadi asas kehebatan ekonominya sehingga hari ini.

Ini semua berlaku selepas Perang Dunia Kedua.

Keadaan sekarang tidak menuntut insentif biasa tetapi tindakan langsung untuk membangunkan industri baru dan menyediakan tenaga kerja kita untuk Revolusi Perindustrian ke-4.

Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh Perdana Menteri dan kerajaan adalah mengadakan sidang Parlimen untuk meluluskan belanjawan tambahan, lebih awal daripada tarikh 18 Mei yang dijadualkan.

Ini akan membolehkan rangsangan ekonomi yang besar akan diluluskan. Saya yakin Ahli Parlimen dari kerajaan dan pembangkang akan menyokong pakej yang dirancang dengan baik demi kepentingan negara.

Tetapi kerajaan perlu berbincang dengan pembangkang untuk mencapai muafakat rentas parti. Mekanisme sedia ada seperti Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan wujud untuk usaha-usaha ini dapat dicapai.

Pada masa yang sama para menteri mesti berani untuk menerima paradigma ekonomi yang baru dan luas jika mereka menghadapi bangkangan dari dalam sistem sedia ada, dan Pakatan Harapan mesti menyokong kerajaan untuk paradigma baru ini.

Keutamaan segera adalah sistem penjagaan kesihatan kita.

Doktor, jururawat - dan pesakit - layak mendapatkan sesuatu yang lebih baik. Sistem kesihatan yang ada pada hari ini akibat pengabaian sekian lama kerana kurangnya pelaburan serta ketirisan.

Kerajaan mesti membina hospital sementara untuk meningkatkan jumlah katil, klinik untuk meningkatkan ujian harian, dan pusat kesihatan kecemasan.

Peningkatan pengeluaran peralatan dan ubat penting, selain menubuhkan perkhidmatan sokongan untuk mereka yang kehabisan makanan, tiada tempat tinggal, dan yang paling berisiko.

Kita mungkin tidak suka idea merawat pekerja asing dan pelarian seperti rakyat Malaysia, tetapi pandemik tidak mengenal kad pengenalan.Tidak merawat mereka bermakna risiko kepada rakyat Malaysia juga meningkat.

Sama seperti menghadapi perang, ia bermaksud mengerahkan tentera untuk membersihkan hab pengangkutan, sekolah, rumah ibadah, dan tempat awam kritikal yang lain.

Kedua, kita perlu memudahkan orang untuk duduk di rumah, seperti dengan melaksanakan penangguhan hutang jangka pendek (termasuk pinjaman perusahaan kecil dan sederhana dan pinjaman gadai janji) dan menangguhkan bil utiliti untuk B40, seperti yang dilakukan oleh sesetengah negara Eropah.

Kerajaan juga perlu menyediakan sokongan pendapatan dengan meluaskan sistem insurans pekerjaan dan keselamatan bekalan makanan.

Isu perumahan adalah penting.

Dalam masa krisis seperti ini, tiada siapa yang patut menjadi gelandangan kerana ketidakupayaan mereka untuk memenuhi keperluan sewa bulanan.

Malah, mereka yang kehilangan tempat tinggal akan memperbesar penyebaran pandemik dan mengeruhkan keadaan untuk kelompok yang paling berisiko.

Penduduk di PPR perlu mendapatkan moratorium atau jumlah pengampunan hutang untuk sewa yang berlebihan akibat krisis Covid-19 ini.

Keutamaan lain adalah menyediakan sokongan wang tunai kecemasan kepada isi rumah. Ini boleh menjadi bentuk memperluas Bantuan Sara Hidup, sokongan upah bagi perusahaan kecil dan sederhana yang menjadi tulang belakang ekonomi kita, memperluaskan Skim Insurans Pekerjaan, bahkan melihat satu bentuk "universal basic income".

Langkah yang paling radikal ialah 'helicopter money' iaitu melalui pembiayaan suntikan fiskal atau pemindahan melalui pengembangan kewangan. Ini adalah pengembangan langsung tunai yang lebih sesuai untuk era kadar faedah dan inflasi rendah, seperti hari ini.

Memang wujud sedikit kesan kepada penyata imbangan Bank Negara.

Hong Kong sudah berbuat demikian. Selepas kesenjangan ekonomi menjadi semakin serius terutamanya perumahan yang mahal, telah mencetuskan rusuhan besar-besaran; berlakunya wabak Covid-19 di China telah menyebabkan gangguan besar terhadap ekonomi wilayah Hong Kong.

Sebulan yang lalu, kerajaan Hong Kong telah mengumumkan wang tunai sebanyak HK $10,000 (kira-kira RM5,700 hari ini) untuk setiap penduduk dewasa.

Ada peringatan dari beberapa pengurusan bank dan kakitangan awam mengenai kesan langkah ini ini terhadap kepada defisit kita.

Namun negara-negara yang mengalami krisis yang belum pernah terjadi seperti perang sentiasa terpaksa mengambil hutang besar untuk mengatasi keadaan ekonomi yang sukar.

Selepas mengambil segala langkah yang diperlukan untuk keadaan hari ini, kerajaan perlu melakukan mobilisasi besar-besaran.

Hanya pelaburan awam yang besar dan program pekerjaan awam yang besar akan membolehkan Malaysia bangkit semula, dan bukannya meneruskan dasar yang membawa kepada pengangguran atau gaji rendah yang telah lama berlarutan.

Dalam sistem ekonomi, watak utamanya adalah isi rumah, perniagaan dan kerajaan. Apabila dua watak yang pertama lumpuh, kerajaan wajibi campur tangan.

Ketika krisis 2008 yang lalu, banyak rangsangan mendorong pertambahan kesenjangan ekonomi. Syarikat-syarikat kroni mendapat bantuan besar, manakala rakyat biasa diberi saki-baki bantuan yang kecil tanpa sebarang pemerkasaan.

Kali ini, ia perlu berbeza. Rakyat, bukan tauke yang perlu dibela. Apa-apa sokongan yang diberikan kepada sektor swasta perlu datang dengan syarat yang ketat untuk kepentingan pekerja.

Apabila pandemik ini berakhir, kita perlu mula bekerja. Peluang pekerjaan sepatutnya dipadankan dengan latihan dan pendidikan.

Tetapi kita juga harus menerima realiti pekerjaan sementara di bawah ekonomi gig. Penghantan makanan sedang berjalan dengan baik sekarang, tetapi mereka memerlukan perlindungan sebagai pekerjaan yang tidak menentu.

Tanpa pekerjaan yang dijamin secara langsung, kita melihat pada potensi pengangguran yang tinggi untuk tahun-tahun mendatang

Sebaliknya, seseorang yang bekerja dengan gaji wajar boleh membayar liabiliti, pergi melancong, dan menyara keluarga mereka. Ketersediaan pekerjaan yang baik untuk semua adalah cara terbaik untuk membawa setiap sektor ekonomi kembali pulih.

Tetapi bagaimana kerajaan boleh menanggung semua itu? Cara yang sama ia membayar untuk segala-galanya.

Ia seharusnya tidak memberikan alasan ketika wabak pada skala ini kerana hakikatnya kerajaan menyara diri sendiri.

Institusi kewangan awam - Bank Negara dan Kementerian Kewangan - perlu memastikan semua perbelanjaan kerajaan dibayar.

Tidak dinafikan, defisit fiskal negara akan melebar dari yang diunjurkan sebanyak 3.4 peratus daripada KDNK. Tetapi jika ada masa sesuai untuk mengambil dari rizab awam atau meminjam wang, ia adalah sekarang.

Bukan sahaja kerana kadar faedah yang rendah, tetapi kita berada di tengah-tengah krisis global.

Ya, pinjaman akan memberi kesan kepada wang yang tersedia untuk generasi akan datang. Tetapi jika kita meninggalkan mereka ekonomi yang lemah dan tidak stabil, mereka tidak akan menghargai penjimatan kita pada hari ini.

Tumpuannya adalah untuk mewujudkan pekerjaan yang baik untuk golongan yang menganggur dan memastikan bahawa kumpulan yang terdedah dan berisiko dapat dijaga oleh masyarakat.

Kegagalan yang dilakukan oleh kebanyakan negara di dunia ketika krisis 2008 - akan menyebabkan ketidakpuasan dalam kalangan ahli masyarakat biasa dengan golongan elit, mengakibatkan kemenangan Donald Trump di Amerika Syarikat dan Brexit di Britain. Sebagai masyarakat majmuk, Malaysia tidak bersedia untuk akibat seperti ini.

*Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ketua Setiausaha Pengelola Keadilan dan Ahli Parlimen Setiawangsa. Beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri dan sebelum ini merupakan ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Belanjawan.