Jurutera pakai plastik sampah ke pasar raya

Zamakhsyari pertama kali mengunjungi pasar raya setelah empat hari berturut-turut tidak keluar untuk mendapatkan barangan keperluan sepanjang tempoh PKP.
Zamakhsyari pertama kali mengunjungi pasar raya setelah empat hari berturut-turut tidak keluar untuk mendapatkan barangan keperluan sepanjang tempoh PKP.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - "Tujuan pakai macam ni bukan sekadar menjaga keselamatan, dalam masa yang sama saya merasai denyut nadi petugas barisan hadapan (frontliners)."

Itu luahan Zamakhsyari Khariri, 41, yang mengenakan pakaian seperti peralatan perlindungan diri (PPE) diperbuat daripada plastik sampah ketika mengunjungi sebuah pasar raya di sini hari ini.

Bapa kepada tiga anak yang bekerja sebagai jurutera sebuah syarikat swasta itu berkata, dia berasa tidak selesa setelah hampir satu jam setengah mengenakan pakaian itu.

"Agaknya beginilah perasaan dan apa yang dialami petugas barisan hadapan kita, panas dan berpeluh. Amat tidak selesa.

"Saya benar-benar merasai apa yang mereka alami dan rasanya tidak sanggup untuk berpakaian begini dalam tempoh yang lebih lama," katanya.

Zamakhsyari beratur menunggu giliran kaunter pembayaran di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Zamakhsyari beratur menunggu giliran kaunter pembayaran di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Ditanya bagaimana boleh timbul idea untuk mengenakan pakaian sebegitu, katanya dia terbaca perkongsian di media sosial oleh seorang doktor yang menggunakan bahan itu (plastik sampah) selepas kehabisan bekalan PPE.

"Menerusi perkongsian itu, saya terfikir bagaimana jika saya mencuba sendiri selain menjaga keselamatan ketika di luar rumah.

Artikel Berkaitan:

"Selama ini saya hanya ke pasar kecil di Kampung Bukit Payong, hari ini pertama kali saya ke pasar raya besar untuk mendapatkan keperluan harian.

"Disebabkan terfikir mungkin pasar raya akan sesak dengan ramai orang disebabkan hari pertama gaji, saya terus meminta isteri membantu saya memakai 'pakaian' ini," katanya yang berkunjung seorang diri ke pasar raya itu.

Dalam pada itu Zamakhsyari turut menasihati masyarakat supaya terus mematuhi arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sebagai penduduk negara ini, kita perlu akur dan terus mematuhi apa-apa arahan kerajaan bagi memerangi wabak koronavirus (Covid-19) ini.

"Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama, agak sukar untuk kita memulihkan kembali keadaan dalam negara kita seperti sedia kala.

"Kasihanilah mereka yang berkorban masa dan tenaga demi menjamin keselamatan kita semua," katanya.