X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Empat kematian dilaporkan

A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Empat kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kumulatif kematian sebanyak 19 kes.

"Kematian ke-16 merupakan kes 1,334 melibatkan lelaki tempatan berumur 75 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Dia dipindahkan dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac sebelum kesihatannya merosot dan diberikan bantuan pernafasan serta disahkan meninggal dunia pada jam 7.40 malam semalam," katanya.

Menurutnya, kes 1,251 dicatatkan sebagai kes kematian ke-17 melibatkan lelaki berusia 66 tahun dan disyaki mempunyai kontak dengan pesakit koronavirus (Covid-19).

"Dia dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Johor pada 20 Mac dan kesihatannya merosot sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 4.10 pagi ini," katanya.

Beliau berkata, kes kematian ke-18 juga mempunyai latar belakang penyakit kronik melibatkan lelaki berusia 56 tahun.

"Dia dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor pada 20 Mac dan disahkan meninggal dunia pada jam 2 pagi tiga hari kemudian," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes ke-19 merupakan kes 1,246 yang merupakan warga emas wanita berusia 68 tahun.

"Beliau dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Johor pada 19 Mac dan diberikan bantuan pernafasan sebelum meninggalkan dunia jam 12.53 pagi tadi," katanya.

Menurutnya, jumlah pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) mencatat penurunan berbanding semalam.

"Sehingga kini, seramai 45 kes positif Covid-19 sedang dirawat di ICU dan 34 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Ditanya mengenai penurunan kes ICU, beliau komited kes Covid-19 pada tahap keempat dan lima boleh dipulihkan.

"Sekiranya kita memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka, kita yakin boleh pulih," katanya.

Sementara itu, sebanyak 172 kes baharu dilaporkan hari ini sekaligus menjadikan kumulatif 1,796 kes.

Sebanyak 16 kes telah pulih dan dibenarkan pulang hari ini.

Jumlah keseluruhan pesakit pulih adalah 199 kes.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus