X

Kindly register in order to view this article
!

Cuepacs rayu kerajaan bantu kakitangan awam gaji bawah RM5,000

ADNAN MAT
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kepada kerajaan supaya memberi pertimbangan khas kepada penjawat awam yang pendapatan isi rumah di bawah RM5,000.

Presidennya, Adnan Mat berkata, dengan penambahan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai dalam kalangan penjawat awam yang bergaji rendah terjejas.

"PKP menyebabkan jumlah pendapatan isi rumah terjejas khususnya kumpulan pelaksana yang rata-rata mereka ada pekerjaan sampingan.

"Ada di antara mereka berniaga tepi jalan, warung, gerai makan, kedai jahitan atau pembantu kedai dan mereka perlu diberi bantuan sebagai mana bantuan peniaga kecil yang terjejas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Adnan berkata, kerajaan juga perlu mempertimbangkan agar kerajaan menangguhkan bayaran perumahan di bawah Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

"Sebahagian daripada penjawat awam juga tergolong dalam golongan B40 yang perlu diberi perhatian. Dengan penangguhan bayaran pinjaman LPPSA yang merangkumi hampir daripada separuh gaji, penjawat awam mempunyai lebihan pendapatan yang boleh digunakan sewaktu kecemasan ketika ini.

"Cuepacs juga berharap semua jenis potongan bulanan seperti kuarters perumahan atau pinjaman penjawat awam bagi agensi atau majikan (pinjaman dalaman) juga perlulah ditangguhkan sebagaimana pelaksanaan di bank," ujarnya.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut mencadangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya mengambil alih atau membantu memudahkan pengurusan anak-anak penjawat awam yang terpaksa bertugas.

"Cuepacs juga memohon agar ketua jabatan khususnya di Kementerian Kesihatan (KKM) melihat semula bagi staf suami isteri yang bekerja sepanjang penularan koronavirus (Covid-19).

"Perlu juga ada penggiliran kerja agar mereka boleh menjaga anak atau pihak majikan boleh berbincang dengan pihak jabatan kebajikan ambil alih pengurusan anak-anak staf KKM terutama yang dua-dua bekerja," ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus