Covid-19: Johor umum 15 insentif baharu babit RM17.5 juta

Orang ramai membeli barang-barang keperluan dapur di Pasar Awam Larkin Sentral pagi ini berikutan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula 18 Mac.- Foto Bernama
Orang ramai membeli barang-barang keperluan dapur di Pasar Awam Larkin Sentral pagi ini berikutan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula 18 Mac.- Foto Bernama
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor hari ini mengumumkan 15 insentif baharu dengan peruntukan RM17.5 juta di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Ehsan Johor bertujuan meringankan beban rakyat negeri ini yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menteri Besar, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, insentif tersebut dijangka memberi impak positif terhadap golongan yang terkesan ekonominya selain menambah baik perkhidmatan.

Menurutnya, ia termasuklah peruntukan khas berjumlah RM500,000 bagi pembelian peralatan tambahan dan keperluan utama lain yang akan diselaraskan Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

"Kerajaan negeri juga bersetuju menyediakan keperluan makanan untuk polis dan tentera yang bertugas di barisan hadapan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bantuan ini akan diselaraskan pejabat-pejabat daerah dengan menggunakan peruntukan Tabung Bencana Negeri Johor membabitkan kos RM200,000," katanya pada sidang akhbar secara langsung di pejabatnya di Kota Iskandar di sini hari ini.

Selain itu katanya, kerajaan negeri memberi insentif pengecualian bayaran sewa rumah dan kedai kepada penyewa daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Johor yang akan memberi manfaat kepada 2,989 penyewa.

Katanya, pemberian insentif pengecualian sewa itu bermula pada April hingga Jun ini dengan pengecualian diberikan kepada penyewa yang telah menduduki PPR dan RSK setakat pengisian sebelum Februari 2020 dengan kos anggaran sebanyak RM4.8 juta.

Pihaknya juga membantu golongan B40 yang membeli Rumah Mampu Biaya Johor, Jenis A di bawah Skim Perumahan Prihatin Johor (SPPJ) menerusi Belanjawan Johor 2020 dengan menangguh pembayaran balik Skim Sewa Milik selama enam bulan untuk kes yang layak kerana hilang mata pencarian.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan negeri juga akan menggandakan peruntukan RM600,000 kepada RM1.2 juta untuk memperluaskan pelaksanaan program Bank 4 Makanan di seluruh negeri Johor bertujuan membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 yang amat memerlukan khususnya dalam kalangan penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Kita juga menangguhkan bayaran balik pinjaman pelajaran institusi pengajian tinggi dalam dan luar negeri yang mendapat pinjaman Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) melibatkan 2,000 pelajar dengan anggaran bayaran penangguhan membabitkan kos RM2.4 juta mulai April hingga Jun 2020.

"Bantuan juga diberikan kepada pelajar di asrama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Johor sepanjang tempoh PKP. Jumlah peruntukan yang akan diberikan adalah antara RM30,000 hingga RM50,000 bagi setiap IPTA di negeri Johor secara 'one off' membabitkan RM370,000. Ini bagi menampung keperluan bekalan makanan dan keperluan asas pelajar terbabit," katanya.

Bukan itu sahaja katanya, bantuan tersebut diberikan kepada Persatuan-persatuan Pelajar Negeri Johor di IPTA seluruh Malaysia membabitkan peruntukan antara RM5,000 hingga RM10,000 dengan anggaran kos sebanyak RM300,000 bertujuan membiayai keperluan utama pelajar yang terkesan.

Katanya, bayaran pinjaman mereka yang mendapat kemudahan pinjaman pelajaran di Mesir dan Jordan melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mulai April sehingga Jun 2020 juga setuju untuk ditangguhkan.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri akan mengumumkan 11 insentif lagi membabitkan RM120 juta dari semasa ke semasa.

Pada 20 Mac lalu, pihaknya telah mengumumkan enam insentif dengan jumlah peruntukan sebanyak RM12.5 juta.