PKS boleh pilih untuk terus bayar balik pinjaman: BNM


Bank Negara Malaysia
Bank Negara Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mahu atau tidak perlu menggunakan fleksibiliti pembayaran balik pinjaman dan pembiayaan boleh meneruskan pembayaran balik mereka seperti biasa mengikut struktur yang sedia ada, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

“Perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah faedah/keuntungan akan terus terakru (yakni diambil kira) atas pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh dan peminjam perlu meneruskan pembayaran balik pinjaman/pembiayaan yang tertangguh pada masa hadapan,” menurut BNM dalam kenyataan hari ini.

BNM berkata oleh yang demikian, peminjam perlu memahami perkara tersebut dan berbincang dengan institusi perbankan masing-masing tentang pilihan yang ada apabila menyambung semula jadual pembayaran balik pinjaman/pembiayaan mereka selepas tempoh penangguhan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tawaran tangguh bayaran balik pinjaman: Ini perincian daripada BNM

Bank pusat berkata, fleksibiliti itu bertujuan membantu aliran tunai individu dan PKS yang berkemungkinan paling terjejas akibat koronavirus (Covid-19) dengan institusi perbankan akan menawarkan penangguhan kepada semua pembayaran balik pinjaman/pembiayaan untuk tempoh enam bulan, berkuat kuasa pada 1 April, 2020.

Tawaran tersebut diberikan kepada pinjaman/pembiayaan dalam denominasi ringgit yang mempunyai rekod pembayaran yang baik serta tidak mempunyai tunggakan selama lebih daripada 90 hari setakat 1 April, 2020.

“Bagi kemudahan kad kredit, institusi perbankan akan menawarkan penukaran baki terkumpul kepada pinjaman bertempoh tiga tahun dengan kadar faedah yang lebih rendah bagi membantu peminjam mengurus hutang mereka dengan lebih baik,” menurut BNM.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 1,654 kes positif jangkitan Covid-19 dan daripada jumlah itu 183 kes telah pulih serta 16 kes maut berikutan jangkitan yang mula dikesan di Wuhan, China tersebut.

Sebanyak 18,416 individu telah menjalani ujian setakat ini di Malaysia dengan 11,970 individu diuji negatif manakala 4,822 masih menunggu keputusan.

Artikel Berkaitan:

Malaysia juga menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari sehingga 31 Mac, 2020 yang dijangka melemahkan rantaian jangkitan itu dalam kalangan rakyat.

Langkah lain yang diambil Malaysia termasuk menyekat kemasukan warga asing, rakyat Malaysia tidak dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara; penutupan sementara sekolah, universiti serta kolej; perhimpunan sosial tidak dibenarkan serta penutupan sementara kedai dan perniagaan kecuali yang berkaitan urus niaga barangan keperluan harian. - Bernama