1,566 kenderaan diarah berpatah balik

Anggota tentera membantu polis ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Bernama
Anggota tentera membantu polis ketika mengadakan sekatan jalan raya bagi memastikan rakyat mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 1,566 kenderaan diarah berpatah balik dalam Sekatan Jalan Raya Ops Covid-19 melibatkan 94 lokasi di seluruh daerah, di negeri ini semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, kesemua kenderaan terlibat termasuklah mereka yang cuba memasuki negeri ini melalui beberapa laluan masuk utama di sempadan negeri.

Menurutnya, pemeriksaan itu melibatkan 6,582 kenderaan membabitkan 803 anggota terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia.

"Selain itu, sebanyak 122 lokasi 'snap-check' diadakan di seluruh negeri semalam dengan kekuatan 664 anggota yang menjalankan pemeriksaan bagi memastikan orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan.

"Bagaimanapun, agak mendukacitakan apabila ada beberapa individu yang berdegil dengan arahan tersebut dan ada yang terpaksa ditahan untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abd Jalil berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap individu itu selepas kertas siasatan lengkap.

Sementara itu, beliau turut berpuas hati dengan kepatuhan penduduk di negeri ini terhadap Perintah Kawalan Pergerakan iaitu pada tahap 93 peratus di semua daerah, sekali gus meletakkan Pahang dalam senarai pematuhan paling tinggi terhadap perintah itu.

"Paling penting untuk hari-hari yang akan datang, orang ramai perlu kekal patuh dengan arahan ini dan dinasihatkan terus berada di rumah masing-masing," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi yang pulang ke kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa, mereka dinasihatkan terus berada di kampung masing-masing dan tidak kembali ke bandar atau ke tempat kerja supaya Perintah Kawalan Pergerakan tidak terganggu.