Kes Covid-19 dijangka meningkat, kerajaan pertingkat fasiliti kesihatan

Kerajaan akan meningkatkan kapasiti ujian saringan dalam skala lebih besar bagi membendung penularan wabak ini di negara ini. -Foto Bernama
Kerajaan akan meningkatkan kapasiti ujian saringan dalam skala lebih besar bagi membendung penularan wabak ini di negara ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menjangkakan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia sekarang dengan Malaysia tidak terkecuali akan mengalami keadaan lebih sukar, mendorong kerajaan untuk meningkatkan kapasiti ujian saringan dalam skala lebih besar bagi membendung penularan wabak ini di negara ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan itu termasuklah ujian secara besar-besaran khususnya di kawasan yang berisiko tinggi.

“Kerajaan menjangkakan kes-kes baharu akan terus dicatatkan dalam masa yang terdekat. Oleh itu, Kementerian Kesihatan telah melakukan persiapan. Ini termasuk menyediakan 3,585 katil di 34 buah hospital di seluruh negara untuk menerima pesakit Covid-19.

“Pada masa ini, 34 peratus daripada kapasiti katil hospital telah digunakan, dengan baki 66 peratus lagi yang masih boleh menampung pesakit.

“Jika berlaku pertambahan jumlah kes positif Covid-19 melebihi kapasiti yang ada di hospital, beberapa tempat telah dikenal pasti untuk dijadikan pusat pengasingan dan kuarantin sementara,” katanya dalam Perutusan Khas yang disiarkan menerusi televisyen tengah hari ini.

Muhyiddin berkata, usaha akan terus dibuat untuk mencegah penularan Covid-19 sehinggalah wabak itu dapat dibendung dengan cara memutuskan rantaian jangkitan sepenuhnya.

Menegaskan bahawa pergerakan orang ramai mesti terus dikawal, beliau berkata strategi kerajaan ialah untuk mencari, menyaring, mengasing dan merawat pesakit Covid-19.

“Strategi ini akan berjaya sekiranya orang ramai tidak terdedah kepada jangkitan virus ini menerusi pergaulan harian.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saudara-saudari mesti bersedia secara mental dan fizikal untuk duduk diam-diam di rumah bagi tempoh yang agak lebih lama,” katanya.

Berdasarkan taklimat oleh Kementerian kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara, Perdana Menteri berkata corak peningkatan kes positif Covid-19 baharu masih berlaku dan dijangka berterusan untuk beberapa ketika sebelum kes-kes baharu mulai menurun.

Bagi menanganinya, Muhyiddin, yang mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April, berkata wabak Covid-19 ini telah mengubah kehidupan manusia dengan sekelip mata, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

Kadar jangkitan Covid-19 begitu cepat dan hari ini 422,829 orang telah dijangkiti wabak ini di seluruh dunia dengan 18,907 kematian.

Di Malaysia, sehingga 12 tengah hari ini jumlah kes positif telah meningkat kepada 1,796 kes iaitu pertambahan 172 kes baharu dan jumlah kematian meningkat kepada 17 orang termasuk seorang doktor.

PKP bermula pada 18 Mac hingga 31 Mac, dengan penguatkuasaan PKP dipertingkat pada 22 Mac apabila anggota Angkatan Tentera Malaysia dikerahkan membantu polis bagi memastikan pematuhan dalam kalangan rakyat. Kira-kira 95 peratus rakyat mematuhi perintah, yang memasuki hari kelapan hari ini,

Menzahirkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran tinggi mematuhi PKP dan duduk di rumah bagi memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19, Perdana Menteri yakin rakyat mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan tidak lemah semangat untuk meneruskan kehidupan.

“Anda patuhilah arahan saya. Anda tahu ini adalah baik untuk anda, keluarga dan orang sekeliling anda. Kesedaran dan keikhlasan anda untuk mematuhi perintah yang dilaksanakan oleh kerajaan semasa tempoh Perintah Arahan Pergerakan amat dianjurkan,” katanya.

Menyambut baik tindakan rakyat yang kreatif dalam menyesuaikan diri melalui perubahan kehidupan untuk terus bekerja dan mengisi waktu ketika duduk di rumah untuk suatu tempoh yang agak lama, Muhyiddin berharap rakyat Malaysia terus tabah dan sabar.

“Ya, seperti ungkapan yang sering kita dengar, “Apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah akan dapat mengharunginya,” katanya yang mengakhiri perutusan dengan memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT memohon perlindungan diri, keluarga, negara dan seluruh umat manusia. -Bernama