Covid-19: Guna rezab tunai, TAWNJ bantu rakyat Johor

Sr Dzulkefly Ahmad
Sr Dzulkefly Ahmad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor dicadangkan menggunakan rizab tunai sedia ada berjumlah RM3.068 bilion untuk membantu kira-kira 3.6 rakyat negeri ini yang menerima kesan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Sr Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan negeri juga boleh menggunakan Tabung Amanah Warisan Negeri Johor (TAWNJ) bagi membantu golongan yang secara langsung terjejas sumber pendapatannya berikutan perlaksanaan itu.

"Golongan yang perlu dibantu seperti peniaga atau penjaja kecilan, individu yang menerima upah harian, penoreh getah dan petani. Mereka tidak mempunyai majikan dan juga tidak mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"Dengan kata lain mereka tidak mendapat manfaat bantuan Insentif Ihsan Johor yang diumumkan Menteri Besar Johor atau bantuan RM600 sebulan yang diberikan kepada pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji seperti diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, menurut laporan Ketua Audit Negara pada 2018, baki TAWNJ berjumlah RM680.37 juta yang mempunyai pegangan dalam pelaburan strategik antaranya 30 peratus saham dalam BSNC Corporation Bhd dan 17.24 peratus saham dalam Al-Salam Reit.

Katanya, sekarang ini rakyat Johor sedang menghadapi saat kecemasan khususnya untuk meneruskan kehidupan terutama bagi golongan yang terkesan langsung dengan perlaksanaan perintah itu akibat penularan koronavirus (Covid-19).

"Sudah sewajarnya Kerajaan Johor menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi membela rakyat yang terkesan walaupun terpaksa mengguna Rezab Tunai atau TAWNJ. Contohi negeri lain seperti Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Pahang yang telah lebih awal menyediakan peruntukan yang

mencukupi bagi membantu rakyatnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar itu memberitahu, TAWNJ ditubuhkan pada tahun 1990-an dengan dana RM300 juta yang merupakan pampasan pembinaan Empangan Linggui untuk Public Utilities Board of Singapore (PUB).

"Empangan Linggui mula dibina 1988 dan siap 1993. Empangan ini meliputi kawasan tadahan seluas 54,000 ekar (kira-kira 21,853 hektar) yang juga merupakan hutan simpanan. Dana tabung ini tidak boleh digunakan untuk tujuan pembangunan sebaliknya boleh digunakan berkaitan air dan diwaktu kecemasan atau darurat sahaja," katanya.