UPM nafi kakitangan tak buat saringan selepas hadir ijtimak tabligh

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menafikan dakwaan bahawa seorang kakitangannya tidak memaklumkan dirinya telah menghadiri ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini, dan tidak melakukan ujian saringan seperti ditetapkan.

Naib Canselor merangkap Pengerusi Jawatankuasa ERT Covid-19-19 UPM, Prof Datuk Dr Aini Ideris sebaliknya berkata, kakitangan itu telah pergi membuat saringan koronavirus (Covid-19) di Pusat Kesihatan Universiti (PKU) pada 12 Mac, iaitu hari ke-12 selepas menghadiri ijtimak itu, sebaik mengetahui arahan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"UPM telah meneliti aduan ini dan menjalankan penyiasatan terperinci. Berdasarkan maklum balas daripada beberapa pihak termasuk PKU mendapati, staf terlibat pergi ke ijtimak tabligh itu selama dua jam sahaja dari 7.30 hingga 9.30 pagi pada 1 Mac, kerana dimaklumkan oleh penganjur yang program itu untuk kumpulan yang akan keluar berdakwah selama empat bulan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata PKU telah membuat saringan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh KKM, dan oleh kerana kakitangan itu tidak menunjukkan sebarang gelaja, PKU mengarahkan beliau untuk melakukan kuarantin di rumah sehingga 15 Mac, dengan pemantauan dibuat setiap dua hari.

"Pada 24 Mac, iaitu hari ke-24 (selepas menghadiri ijtimak itu), beliau tidak menunjukkan sebarang petanda penyakit Covid-19. Bagaimanapun ekoran arahan terbaharu KKM, beliau diarahkan oleh PKU untuk membuat ujian 'swab' di Hospital Kajang, namun keputusan belum diperoleh," katanya.

Aini menegaskan bahawa UPM sentiasa memastikan kakitangannya patuh kepada arahan yang keluarkan oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara, malah turut mengeluarkan arahan kepada semua staf terlibat dengan mana-mana kluster kes positif Covid-19, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. - Bernama

Artikel Berkaitan: