X

Kindly register in order to view this article
!

Bursa Malaysia dibuka tinggi, sejajar dengan pasaran global

A
A

BURSA Malaysia dibuka tinggi hari ini, dengan semua indeks mencatatkan dagangan positif seiring dengan prestasi kenaikan dalam tempoh semalaman di pasaran global utama.

Pada 9.05 pagi, indeks utama, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.79 peratus atau 36.12 mata kepada 1,327.28 daripada 1,291.148 ketika ditutup semalam.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 480 berbanding 37, manakala 107 kaunter tidak berubah, 1,399 kaunter tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 285.69 juta saham bernilai RM136.70 juta.

Penganalisis berkata momentum menaik bursa tempatan adalah sejajar dengan sentimen global susulan pelbagai inisiatif kerajaan untuk menangani kesan ekonomi akibat penularan koronavirus (Covid-19).

“Malaysia, Jepun sehinggalah ke Amerika Syarikat, setiap kerajaan mengambil langkah untuk mengurangkan kesan pandemik itu ke atas ekonomi, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pasaran,” katanya.

Menurut Bloomberg dalam laporan rumusan pasarannya, ekuiti Jepun dibuka kira-kira tiga peratus lebih tinggi, manakala saham Australia dan Korea Selatan melonjak kira-kira lima peratus, sementara saham Asia-Pasifik mencatatkan pergerakan meningkat memasuki hari kedua.

Tempoh semalaman itu pula menjadi hari terbaik bagi indeks AS seperti Purata Perindustrian Dow Jones apabila timbul semula minat dalam kalangan pelabur apabila Kongres berakhir dengan peruntukan perbelanjaan yang tidak pernah dicatatkan sebelum ini, menerusi pakej rangsangan, untuk melonjakkan ekonominya yang lembap.

Bagi minyak mentah pula, minyak Brent yang menjadi penanda aras, meningkat kepada AS$30.53 setong.

Bagaimanapun, para penganalisis tetap berhati-hati apabila pengeluar utama dunia cenderung kepada untuk menurunkan lagi komoditi tersebut, sehingga serendah AS$10 setong.

Bagi prestasi saham berwajaran tinggi, Public Bank mendahului dengan kenaikan 84 sen kepada RM16.08, diikuti Axiata naik 26 sen kepada RM3.53, Tenaga Nasional menokok 30 sen kepada RM12.12, Maybank menambah 14 sen kepada RM7.44, dan Petronas Chemicals meningkat 19 sen kepada RM4.49.

Secara terkumpul, lima saham itu menyumbang 18.84 mata kepada kenaikan indeks komposit.

Bagi saham aktif, kaunter minyak dan gas terus meningkat dengan Hibiscus naik tiga sen kepada 34 sen dan Velesto menokok 1.5 sen kepada 12 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 260.27 mata kepada 9,003.01; FBM 70 naik 358.0 mata kepada 10,056.73 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 250.64 mata kepada 9,721.76.

Indeks FBMT 100 menambah 259.33 mata kepada 8,948.57 dan FBM Ace naik 122.63 mata kepada 3,674.78.

Mengikut sektor, Indeks Barangan dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 2.89 mata kepada 100.21, Indeks Perladangan menokok 25.23 mata kepada 5,859.31 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 355.13 mata kepada 12,350.61.-Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf