Kematian ke-17 akibat Covid-19 dicatatkan hari ini

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas menjadi satu lagi korban Covid-19 yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 17 orang setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, kes kematian ke-17 (kes ke-1251) merupakan seorang warga Malaysia berusia 66 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

Menurutnya, warga emas itu mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar pada 20 Mac lalu.

“Keadaan beliau kritikal ketika tiba di Jabatan Kecemasan dan seterusnya memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama. Beliau disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac 2020.

“Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 25 Mac 2020 jam 4.10 pagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya sebentar tadi.

Dr Noor Hisham berkata, bagaimanapun punca jangkitan Covid-19 warga emas itu masih dalam siasatan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit.

Artikel Berkaitan: