Kelantan lancar Kempen Anti Maksiat

Mohd Nassuruddin (kiri) dan Che Mohd Rahim (kanan) menunjukkan poster Kempen Anti Maksiat yang akan diedarkan di kawasan tumpuan nanti.
Mohd Nassuruddin (kiri) dan Che Mohd Rahim (kanan) menunjukkan poster Kempen Anti Maksiat yang akan diedarkan di kawasan tumpuan nanti.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menggerakkan Kempen Anti Maksiat berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, kempen dijalankan bagi menyedarkan masyarakat supaya menjauhi perkara mungkar.

Menurutnya, gerakan tersebut juga melibatkan penzinaan, dadah, pil kuda, ketum, berdua-dua tanpa hubungan yang sah dan pelbagai kemungkaran lain yang merosakan agama serta masyarakat.

“Di mana-mana pun ada kes, yang penting kita mahu kalau ada ia dikurangkan, maknanya kita mahu masyarakat menghindari maksiat. Kita buat ini bukan kerana kes meningkat.

“Ini kewajipan semua individu, masyarakat, keluarga dan kerajaan. Ini adalah untuk pastikan bahawa negeri kita ini mendapat rahmat dan wajib menjauhi aktiviti mungkar,” katanya kepada media.

Terdahulu beliau merasmikan Kejohanan Futsal Piala Desa Taqwa dan Penutup Program Al-Muttaqin Orang Kena Pengawasan Fasa Pertama 2018 yang turut dihadiri Pengarah Jaheaik, Datuk Che Mohd Rahim dan Pengarah Agensi Antidadah Kelantan, Rohayu Ahmad.

Mengulas lanjut, Mohd Nassuruddin berkata, penguat kuasa yang terlibat akan turun padang di lokasi tumpuan untuk memberikan nasihat kepada individu yang melakukan perkara tidak senonoh.

“Kita akan sebar dahulu supaya masyarakat tahu mengenai kempen ini. Pada tahun ini kerajaan akan memberikan tumpuan kepada pencegahan maksiat.

Artikel Berkaitan:

“Penguatkuasaan kita jalankan seperti biasa mengikut undang-undang sedia ada. Kempen ini untuk kita berikan nasihat. Agama itu nasihat,” katanya.

Sementara itu, Che Mohd Rahim berkata, pihaknya akan menjalankan kerjasama bersepadu dengan agensi terlibat untuk membantu 70 penguat kuasa JAHEAIK dalam memperhebatkan kempen ini.

“Tidak kira tua mahupun muda, kalau dah salah tetap salah. Semua tempat tumpuan kita akan turun,” katanya.