Taiping, Bukit Gantang kawasan jangkitan rabies

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar mewartakan Mukim Taiping dan Bukit Gantang, Perak sebagai kawasan jangkitan anjing gila atau rabies berkuatkuasa hari ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pewartaan itu dibuat selepas mendapat aduan kes gigitan anjing pada 31 Disember lalu.

Katanya, seorang pengadu dari Taman Sri Kota Fasa 2, Taiping memaklumkan dua ahli keluarganya digigit anjing peliharaannya.

"Anjing tersebut telah dilupuskan oleh pengadu pada 3 Januari 2019.

"Pada 4 Januari 2019, sampel otak daripada anjing tersebut telah diuji dan disahkan positif terhadap penyakit Rabies oleh Institut Penyelidikan Veterinar,

Ipoh,"katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, survelan dan persampelan telah dijalankan serta-merta di dalam lingkungan 2 km radius dari foci jangkitan bagi mengetahui status perebakan penyakit rabies di kawasan tersebut.

"Sebanyak tiga lagi sampel (daripada anjing berkeliaran) telah dikesan positif daripada 30 sampel yang diambil pada 11 Januari 2019 iaitu di sekitar kawasan Tupai Business Centre dan Pekan Sri Boyan.

Artikel Berkaitan:

"Pemvaksinan anjing-anjing bertuan dalam kawasan dijangkiti rabies (1-10 kilometer radius secara berperingkat) dijadualkan bermula pada 15 Januari 2019,"katanya.

Tambahnya lagi, pemusnahan anjing-anjing terbiar dalam 1-10 kilometer radius dari foci dijangkiti rabies telah dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula hari ini.

"Kita juga mengharapkan kerjasama pemilik anjing supaya memastikan anjing peliharaan mereka diberikan suntikan vaksin rabies.

"Anjing dan kucing peliharaan juga perlu dikurung bagi mengelakkan berlaku gigitan daripada anjing berkeliaran,"katanya.