Covid-19: Terlalu takut sampai dua kali buat saringan

Ahmad Luqman berkongsi pengalamannya pada hantaran di Facebooknya.
Ahmad Luqman berkongsi pengalamannya pada hantaran di Facebooknya.
A
A
A

SEREMBAN – Perasaan panik dan cemas berlebihan. Itu yang dilihat pada kebanyakan individu yang datang membuat saringan koronavirus (Covid-19)di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini.

Situasi itu dikongsi oleh Pegawai Perubatan HTJ, Dr Ahmad Luqman Bukhari menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian berkata, keadaan itu mula didapati berlaku sejak hari ketiga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

Malah ada yang datang membuat saringan sehingga dua kali kerana terlalu risau dijangkiti Covid-19.

“Serangan panik dan cemas berlebihan ini memang sudah makin menjadi-jadi beberapa hari ini. Kerap orang yang berlainan datang berjumpa kami di hospital dengan masalah yang serupa.

"Semua orang sudah bertambah risau, bimbang dan susah hati apatah lagi ancaman wabak itu sudah mengorbankan banyak nyawa," katanya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan individu yang berhadapan situasi seperti itu supaya bertenang dan selalu berhubung dengan orang lain.

Katanya, mereka perlu bercakap dan meluahkan perasaan itu kepada orang lain yang boleh dipercayai supaya tidak memberi kesan kepada emosi diri.

Artikel Berkaitan:

“Jangan pendam kerisauan seorang diri. Bercakap dah luahkan perasaan dengan orang yang kita percaya sebenarnya adalah satu tindakan yang sangat bagus.

“Kekalkan kesihatan mental dan fizikal. Ambil makanan yang berkhasiat setiap hari dan dapatkan tidur yang cukup,” katanya.

Beliau turut berkongsi langkah-langkah yang boleh diambil sekiranya ada yang berhadapan situasi seperti itu.

Katanya, individu terbabit perlu duduk dalam keadaan tenang, kemudian menarik nafas dan menahannya sekitar lima saat sebelum hembus keluar secara perlahan-lahan.

Ahmad Luqman berkata, ulang teknik pernafasan itu beberapa kali sehingga benar-benar sudah kembali tenang.

Selain itu katanya, perlu menghadkan masa untuk mengambil tahu perkembangan berita Covid-19 dan elakkan mengakses media sosial buat sementara waktu.

“Paling penting gunakan waktu terluang yang kita ada sekarang untuk baiki hubungan kita dengan Dia. Ubat tenang dan paling ‘power’ ialah kita faham dan redha apa yang berlaku sekarang tidak lain ditentukan oleh Dia.

“Tugas kita ialah terus dan terus berusaha. Jaga diri, jaga keluarga dan jaga orang sekeliling dan wajib disiplin laksanakan stay at home,” katanya.