MIER gesa kerajaan peruntuk RM95 bilion kurangkan impak ekonomi

MIER mencadangkan kerajaan memperuntukkan belanjawan RM95 bilion untuk mengurangkan impak ekonomi daripada Covid-19.
MIER mencadangkan kerajaan memperuntukkan belanjawan RM95 bilion untuk mengurangkan impak ekonomi daripada Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mencadangkan kerajaan memperuntukkan belanjawan krisis luar biasa sebanyak RM95 bilion untuk mengurangkan impak ekonomi daripada koronavirus (Covid-19).

MIER berkata, ini merupakan tambahan RM75 bilion selain pakej rangsangan bernilai RM20 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Peruntukan tersebut penting terutamanya untuk mengelak syarikat muflis, kehilangan pekerjaan serta kebajikan dan pendapatan isi rumah terjejas melalui sokongan perniagaan, memberi nafas baharu kepada PKS dan program jaringan keselamatan sosial.

Kumpulan penyelidikan itu berkata, penting untuk meneliti semula matlamat sosio ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Berdasarkan pandemik, kami berpendapat kini masa yang sesuai untuk menetapkan dasar, mekanisme dan langkah untuk memacu ekonomi ke arah yang berdaya tahan dan makmur, bukan dasar berorientasikan pertumbuhan tidak mampan dalam beberapa dekad sebelum ini.

“Ia juga merupakan masa yang sesuai untuk mengkaji semula keadaan pertanian kita, kita perlu beralih kepada pertanian berasaskan makanan terutamanya dalam keselamatan makanan negara,” menurut MIER dalam kenyataan hari ini.

Senarai cadangan untuk mengurangkan impak ekonomi dikeluarkan susulan kajian kedua oleh MIER mengenai impak ekonomi daripada pandemik Covid-19.

Ia sebelum ini menganggarkan impak ekonomi secara keseluruhan daripada penularan tersebut kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan pengurangan antara 0.8 peratus dan 2.0 peratus daripada trend asas untuk senario yang rendah dan tinggi.

Artikel Berkaitan:

MIER berkata, pihaknya mencadangkan kerajaan supaya dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan Stok Penimbal Makanan dan Bekalan Perubatan Negara yang dibiayai oleh kerajaan atau bersama dengan sektor swasta melalui program Perkongsian Awam-Swasta (PPP).

Kerajaan juga perlu mengkaji semula dasar fiskalnya termasuk Belanjawan 2020 yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini untuk menghadapi perkembangan baharu ini.

MIER berkata, ia menjangka pemulihan berbentuk V daripada kemelesetan ekonomi yang diunjurkan pada tahun ini berikutan COVID-19 dan pelaksanaan pakej rangsangan yang dicadangkan, sambil menambah tahun 2021 akan menyaksikan ekonomi mencatat prestasi lebih baik.

Dalam jangkaan ini, MIER menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan semula dalam mengembalikan GST dengan pelarasan yang sesuai kepada kadar dan liputannya serta mekanisme yang lebih baik dari segi kutipan dan rebat dalam Belanjawan 2021 yang akan datang.

Ini akan memberikan cara untuk menampung sebarang kekurangan dalam pendapatan kerajaan Persekutuan berikutan hasil minyak yang dijangka rendah dalam penilaian sebelum ini, menurut MIER. - Bernama