X

Kindly register in order to view this article
!

Henti kecam jemaah tabligh, banyakkan beribadah

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Tindakan segelintir orang awam menyalahkan jemaah tabligh menghadiri program agama di sebuah Masjid Sri Petaling baru-baru ini sebagai punca penularan wabak koronavirus (Covid-19) adalah tidak wajar.

Malah ada dalam kalangan ahli akademik turut meminta orang awam agar berhenti menyalahkan golongan itu seperti mana disarankan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

Seorang ahli akademik bertaraf profesor berkata, sudah tiba masa pihak tertentu menghentikan kritikan terhadap jemaah tabligh dan terus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan dikeluarkan pihak berkuasa.

"Mungkin disebabkan maklumat dan informasi yang salah pada peringkat awalnya telah menimbulkan kesukaran kepada jemaah tabligh untuk mendapatkan rawatan saringan dan tindakan lain.

"Keadaan menjadi lebih rumit apabila banyak tanggapan yang salah, banyak perspektif negatif timbul selepas itu apabila jemaah tabligh dikatakan tidak memberikan kerjasama mereka, itu pada awalnya.

"Namun kita mengucapkan syukur kerana kebanyakan daripada jemaah tabligh terlibat dengan program keagamaan di masjid terbabit telah menghadiri saringan kesihatan," katanya kepada Sinar Harian.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Noor Hisham rayu jangan salahkan tabligh

Semalam, Dr Noor Hisham merayu orang awam tidak menyalahkan jemaah tabligh dalam peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini malah beliau turut menasihati agar tidak mendiskriminasikan golongan itu.

Mengulas lanjut, profesor terbabit berkata, beliau juga percaya jemaah tidak menuding jari kepada mana mana pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia kerana isu wabak Covid-19 adalah sesuatu di luar jangkaan.

Beliau turut mengulangi kenyataannya bahawa sebilangan jemaah tabligh mungkin tidak mendapat maklumat tepat namun apa mahu ditekankan adalah jemaah tabligh adalah orang yang taat dengan arahan.

“Jemaah sentiasa taat dengan arahan Kementerian Kesihatan untuk lakukan saringan. Janganlah berterusan menghentam dan menyalahkan jemaah tabligh secara keseluruhannya,” katanya.

Profesor terbabit juga sependapat dengan Dr Noor Hisham apabila ketua pengarah kesihatan itu melihat perkara paling penting ketika ini adalah kita membantu mengesan dan merawat jangkitan Covid-19 di kalangan jemaah tabligh, keluarga dan kontak mereka.

"Sebagai rakyat Malaysia kita wajar memberikan sokongan terhadap kerajaan bagi memastikan penularan wabak ini dapat dihentikan dan sebagai orang Islam juga kita perlu banyakkan ibadah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!