Selepas bergelut, tokan dadah dicekup

Antara penagih dadah ditahan dalam operasi itu.
Antara penagih dadah ditahan dalam operasi itu.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki disyaki tokan dadah berusia 33 tahun tumpas apabila ditahan dalam operasi khas di kawasan port penagihan dadah di Kubang Kenyeng, Padang Terap, hari ini.

Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Padang Terap, Zainol Abidin Ismail berkata, lelaki terbabit antara 23 individu ditahan dalam operasi selama 10 jam bermula jam 4 pagi tadi.

Katanya, lelaki berasal dari Pokok Sena itu ditahan dalam operasi disertai 25 anggota dibantu anggota AADK Kubang Pasu, Unit Antidadah Sempadan Bukit Kayu Hitam dan AADK Kuala Muda.

Sebahagian dadah dirampas.
Sebahagian dadah dirampas.

"Dalam operasi sehingga jam 2 petang tadi itu, kami berjaya menahan seramai 23 individu yang disyaki penagih dadah yang masuk ke kawasan port penagihan bagi mendapatkan bekalan dan melepaskan gian dadah.

"Tokan dadah itu tidak menyedari kawasan tersebut telah dikepung dan berlaku sedikit pergelutan sebelum AADK berjaya menangkapnya bersama dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya.

Zainol Abidin, kesemua yang ditahan di bawa ke Pejabat AADK Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut, dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka semua positif dadah.

Kata beliau, seramai 22 individu akan disiasat dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan), manakala tokan dadah tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik IPD Padang Terap untuk disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, katanya, pihak AADK menerima banyak aduan serta maklum balas tentang semua maklumat berkaitan dadah yang berlaku dengan cepat dan efektif semenjak talian Hotline 24 Jam dilancarkan sejak 26 Disember 2018

Tambahnya, keprihatinan masyarakat juga dilihat semakin bertambah dan diharap mereka berterusan dalam membantu pihak kerajaan menangani dadah.

"Golongan ibu bapa dinasihatkan agar sentiasa melindungi anak daripada terjerumus dengan dadah. Banyak kaedah boleh digunakan sebelum tindakan penguatkuasaan bagi mereka yang ingkar dan tidak mahu tampil secara sukarela," katanya.