AS berpotensi jadi pusat wabak baharu Covid-19

Sebuah pasar raya di Nashville, Tennessee menampalkan notis bekalan cecair pembasmi kuman sudah kehabisan di premis tersebut. - Foto Agensi
Sebuah pasar raya di Nashville, Tennessee menampalkan notis bekalan cecair pembasmi kuman sudah kehabisan di premis tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

GENEVA - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini mendakwa berlaku lonjakan sangat besar berhubung kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di Amerika Syarikat (AS).

Susulan itu, agensi antarabangsa PBB tersebut melihat Washington berpotensi menjadi pusat wabak baharu berdasarkan peningkatan kes jangkitan virus tersebut.

Jurucakap WHO, Margaret Harris memberitahu data yang diperoleh mereka menunjukkan 85 peratus kes baharu Covid-19 dilaporkan di Eropah dan AS dalam tempoh 24 jam lepas.

“Washington mempunyai wabak yang sangat besar dan ia terus meningkat dengan cepat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, bandar utama dan seluruh negeri di AS kini berada dalam keadaan terdesak memerlukan bantuan daripada kerajaan Persekutuan yang berada di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump untuk menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

“Sesiapa sahaja di luar sana, bantu kami dapatkan bekalan. Kami cuba hanya ada tempoh beberapa hari lagi. Ini adalah realiti yang terpaksa kami hadapi,” kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio kepada stesen televisyen CNN semalam.

Ketika ini, tentera AS juga sedang bersedia untuk membuka hospital lapangan di New York dan Seattle selepas Senat gagal meluluskan pakej rangsangan ekonomi untuk kali kedua.

Washington juga bergelut dengan kekurangan bekalan perubatan yang diperlukan untuk membantu pekerja kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, 15 daripada 50 negeri di AS telah melaksanakan sekatan pergerakan untuk membendung penularan virus tersebut selepas lebih 46,450 kes jangkitan dan lebih 500 kematian direkodkan. - Agensi