Bagai dalam Perang Dunia Ketiga

A
A
A

SETELAH Perang Dunia Pertama (1914-1918) dan Perang Dunia Kedua pada tahun (1939-1945), para pengkaji dan pengulas politik, ekonomi dan sosiologi meramalkan akan berlaku Perang Dunia Ketiga berdasarkan senario perkembangan pembinaan senjata nuklear oleh banyak negara. Senjata nuklear akan memusnahkan dunia.

Begitupun, terdapat pula kebimbangan mereka pada senario malapetaka Perang Dunia Ketiga yang melibatkan senjata biologi. Kesannya lebih dahsyat. Ia tidak memusnahkan kota, jalan raya, empangan, lapangan terbang, kem tentera dan senjata. Sebaliknya Perang Dunia Ketiga yang menggunakan senjata biologi akan membunuh manusia.

Meskipun peperangan lazimnya melibatkan pasukan tentera daripada dua pihak, kesan perang daripada senjata biologi akan turut mencederakan orang awam. Orang awam menduduki penempatan di seluruh negara, bukan sekadar di kem-kem tentera mahupun perbatasan dan tempat pertempuran. Ertinya, kesan perang senjata biologi melibatkan rakyat di seluruh negara. Ramai yang akan mati sementara yang hidup akan mengalami trauma, depresi dan mungkin sekali cacat seumur hidup.

Perang Dunia Ketiga yang melibatkan senjata nuklear akan menjejaskan banyak negara. Segala bentuk perusahaan, pembangunan dan ekonomi menjadi tidak seimbang kerana perancangan sumber manusia sesebuah negara telah hancur. Pakar-pakar dalam pelbagai sektor mungkin telah cedera ataupun mati. Yang penting bagi mana-mana negara ialah mencari sumber makanan untuk hidup. Siapa pula boleh menjamin bahawa senjata biologi tidak menjejaskan binatang ternakan dan tanaman pertanian?

Senario kesan perang menggunakan senjata biologi itu kini berada di ambang mata. Covid-19 ini seolah-olah kesan perang senjata biologi Perang Dunia Ketiga. Biarlah kita ketepikan teori konspirasi sama ada virus itu dicipta Amerika Syarikat ataupun China. Kita guna fakta bahawa virus itu muncul daripada binatang dan berpindah kepada manusia secara alami. Tetapi dalam beberapa minggu lagi, nampaknya kita sedang menuju kepada kesengsaraan jika pandemik itu tidak dapat dikekang segera.

Sehingga kini, lebih 169 negara di dunia yang terlibat dengan pandemik Covid-19. Maklumat terkini, hampir 400,000 manusia yang telah dijangkiti. Minta dielakkan, tetapi angka itu boleh menjadi setengah juta umat manusia dalam seminggu dua lagi.

Sesungguhnya pandemik itu begitu mengejutkan. Hanya bulan lepas kita berkalut dalam politik dan peralihan kuasa. Kita baru sahaja hendak berehat dan bertenang seketika daripada gawat politik tetapi tiba-tiba kita diserang oleh musuh yang kita tidak nampak.

Kita bukannya berada dalam mimpi lagi. Kita tidak tahu siapa yang telah dijangkiti kerana yang dijangkiti pun tidak tahu dia telah dihinggapi penyakit itu. Seolah-olah kita tidak boleh percaya kepada sesiapa sahaja di sekeliling kita meskipun dia ialah anggota keluarga kita sendiri. Jalan terbaik adalah dengan mengasingkan diri. Duduk di rumah dan bekerjalah dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Namun, dalam pada kita berdepan dengan suasana yang merisaukan ini, ada satu perkara hilang yang kita dapat temui kembali. Masa. Itulah satu-satunya faktor yang selalu kita ketinggalan. Dalam tempoh dua minggu ini, kita tidak perlu lagi ‘mencari masa’ kerana ia sudah ada. Dengan berlakunya pandemik Covid-19 ini, bila mana hampir keseluruhan aktiviti dihentikan, kita tiba-tiba diberi masa untuk melakukan apa yang selama ini kita tidak boleh lakukan.

Sesungguhnya, banyak yang boleh kita lakukan apabila Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan. Masaklah resipi yang kita belum sempat hendak cuba, bacalah buku yang sudah lama kita ingin habiskan, hafal sahaja doa yang kita tidak sempat ingat dan buatlah apa yang kita tak dapat buat selama ini kerana faktor kekurangan masa.

Sesungguhnya suasana seperti dalam perang ini tidak menjadi lebih buruk. Meskipun ada yang menjangka kita akan duduk di rumah lebih lama lagi, kita kenalah jaga minda agar sentiasa positif. Jadilah cyberwarrior yang sebenar-benarnya dengan menyebarkan hal-hal yang benar dan baik. Jadilah wira siber yang sebenar.

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian