UNHCR gesa pelarian, pencari suaka jalani saringan Covid-19

Pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR yang mempunyai gejala Covid-19 akan menjalani ujian saringan secara percuma di hospital kerajaan. - Foto 123RF
Pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR yang mempunyai gejala Covid-19 akan menjalani ujian saringan secara percuma di hospital kerajaan. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menggesa pelarian dan pencari suaka di Malaysia yang mengalami gejala berkaitan koronavirus (Covid-19) untuk segera mendapatkan rawatan.

Pegawai Perhubungan Awam UNHCR Yante Ismail berkata terdapat laporan mengatakan komuniti berkenaan antara yang turut menyertai perhimpunan di Masjid Sri Petaling pada 27 Februari hingga 1 Mac.

"Pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR yang mempunyai gejala Covid-19 akan menjalani ujian saringan secara percuma di hospital kerajaan," katanya kepada Bernama.

Yante berkata, UNHCR menyambut baik pengumuman kerajaan yang menyatakan golongan tidak mempunyai dokumen atau visa tamat tempoh termasuk pelarian dan pencari suaka politik, tidak akan ditahan ketika menjalani saringan Covid-19.

“UNHCR berharap kerajaan akan meneruskan dasar positif menyediakan rawatan dan ujian percuma terhadap individu yang mempunyai gejala Covid-19.

"Penting untuk tidak membezakan antara pelarian atau pencari suaka dengan penduduk lain apabila ia berkaitan dengan Covid-19. Tanggungjawab untuk mencegah dan mengurus terletak di tangan semua individu serta masyarakat di negara ini," katanya.

Beliau berkata, sejak wabak bermula, UNHCR sentiasa menyelaras dan bekerjasama rapat dengan kementerian kesihatan selain memastikan komuniti ini terangkum dalam semua program pembasmian penyakit kerajaan pusat.

"UNHCR bersama dengan IMARET, Muslim Relief Agency dan MERCY Malaysia, bekerjasama dengan pegawai kesihatan Kementerian Kesihatan untuk mengesan masyarakat pelarian di Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, UNHCR mewujudkan portal maklumat di www.refugee-malaysia.org, membolehkan pelarian, pencari suaka dan organisasi yang menyokong pelarian mendapatkan maklumat berkaitan.

Yante berkata, beberapa talian Hotline dalam enam bahasa turut diwujudkan selain menyediakan penterjemah.

Sehingga Februari tahun ini, terdapat kira-kira 178,990 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, termasuk kira-kira 154,080 dari Myanmar terdiri 101,010 Rohingya, 22,810 Chins, dan 30,250 lagi lain-lain kerakyatan.

"Sebanyak 68 peratus pelarian serta pencari suaka kanak-kanak dan lelaki dewasa, 32 peratus wanita 46,520 daripadanya di bawah umur 18 tahun," katanya. - Bernama