Pembelian peralatan perubatan dikecualikan duti import, cukai jalan

Seluruh masjid dan surau diperintahkan untuk tutup sementara susulan ancaman wabak Covid-19 di seluruh dunia. -Foto Bernama
Seluruh masjid dan surau diperintahkan untuk tutup sementara susulan ancaman wabak Covid-19 di seluruh dunia. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan bersetuju memberi pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pembelian peralatan perubatan, makmal, peralatan pelindung peribadi (PPE) dan bahan guna habis oleh mana-mana pihak untuk disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang bertujuan membantu menangani pandemik koronavirus (Covid-19).

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, persetujuan itu dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz selaras dengan peruntukan mengikut Seksyen 14(2) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 35(3)(a) Akta Cukai Jualan 2018.

"Pengecualian duti import dan cukai jualan itu berkuat kuasa bermula 25 Mac ini sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian oleh Kementerian Kewangan setelah pandemik Covid-19 diisytiharkan tamat oleh kerajaan," kata JKDM.

Kelulusan tersebut tertakluk kepada pengimport yang dikecualikan daripada pembayaran duti import dan cukai jualan, manakala pengilang yang berdaftar cukai jualan diberi pengecualian daripada mengenakan cukai jualan dan pengecualian diberi berdasarkan Seksyen 35(4) Akta Cukai Jualan 2018.

Pengecualian duti dan cukai itu juga tertakluk kepada penyumbang yang mengimport atau membuat pembelian tempatan barangan berduti/bercukai dengan mengemukakan surat pengesahan daripada KKM kepada JKDM.

Menurut jabatan itu, permohonan permit perlu dibuat kepada kementerian, jabatan dan agensi yang berkaitan iaitu KKM, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Bagi barangan yang hanya tertakluk kepada duti import, pengimport atau penyumbang juga boleh menggunakan kemudahan pengecualian duti import di bawah Butiran 77, Perintah Duti Kastam (Pengecualian) 2017 bagi tujuan sumbangan barangan kepada mana-mana jabatan kerajaan, negeri dan badan berkanun tertakluk kepada syarat iaitu ejen atau pengimport hendaklah menyertakan surat pengesahan daripada KKM.

Pengecualian duti import itu juga diberikan kepada pengimport yang ingin mengimport bagi tujuan sumbangan atau hadiah (tanpa caj) kepada mana-mana jabatan persekutuan atau jabatan kerajaan negeri tanpa sebarang caj dengan syarat mendapat surat pengesahan Ketua Setiausaha KKM, kata JKDM.

Artikel Berkaitan:

Antara peralatan perubatan yang mendapat pengecualian duti import dan cukai jualan ialah Thermometer Inframerah, Pengimbas Termal, Ventilator ICU, Ventilator Mudah Alih, Monitor Pesakit, Monitor Vital Sign, Pam Syringe, Infusion Pump dan Defibrillator.

Bagi peralatan makmal yang mendapat pengecualian termasuklah Realtime Thermal Cycler, Sanger Sequence, Biological Safety Cabinet, Automated Inverted Microscope, Inverted Microscope, Lab type freezer, ELISA Reader, ELISA Washer dan Automated Extractor Machine manakala PPE termasuklah pelindung muka dan mata serta sarung tangan-sarung tangan plastik, sarung tangan getah untuk pembedahan).

Peralatan guna habis yang mendapat pengecualian termasuklah 'Paper bed sheets' (bed incontinence pad), Thermometer probe cover, Respiratory tubing dan Plastic Test Tube. - Bernama