Perintah Kawalan Pergerakan diperluas di perairan Labuan

Nor Bakari pada sidang media Op Inter Agensi Covid-19 yang dijalankan bersama APMM Zon Maritim Labuan dan PPM Labuan di pejabat Zon Maritim Labuan hari ini. - Bernama
Nor Bakari pada sidang media Op Inter Agensi Covid-19 yang dijalankan bersama APMM Zon Maritim Labuan dan PPM Labuan di pejabat Zon Maritim Labuan hari ini. - Bernama
A
A
A

LABUAN - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperluas di perairan Labuan bermula hari ini dengan memastikan hanya sektor perkhidmatan penting dibenarkan beroperasi.

Penguatkuasaan perintah di perairan Labuan itu yang dinamakan Op Inter Agensi Covid-19 dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan dan Pasukan Polis Marin (PPM) Labuan.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, pemerluasan perintah yang berkuat kuasa sehingga 31 Mac itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19 dan susulan pemberhentian serta-merta perkhidmatan pengangkutan awam laut ke tanah besar Sabah dan Sarawak.

“Konsep operasi ini adalah bagi mengawal dan memantau pergerakan aset-aset di perairan Labuan (dengan kerjasama ejen perkapalan) selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan dan yang penting adalah operasi ini akan membantu kepada pematuhan perintah berkenaan dalam kalangan komuiti maritim,” katanya dalam satu taklimat dan sidang akhbar bersama PPM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan.

Sektor operasi melibatkan beberapa perairan Labuan dan sempadannya iaitu di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, Terminal Feri Menumbok, Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan penempatan sementara Kiamsam.

Kawasan lain yang menjadi tumpuan ialah perairan Kampung Muslim, Kampung Baru dan Saguking, laluan masuk daripada Sipitang, Sabah, Tanjung Aru, Batu Manikar, pulau-pulau berhampiran dan beberapa kawasan pantai.

Nor Bakari mengingatkan komuniti maritim agar tidak menjalankan sebarang aktiviti dan operasi di luar sektor yang disenaraikan dan pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 jika didapati melanggar perintah berkenaan.

“Susulan pemberhentian perkhidmatan pengangkutan awam laut (feri dan bot laju penumpang) bermula hari ini, pihak kami juga akan memantau semua lorong tikus dan jeti haram yang berkemungkinan dijadikan pintu masuk ke Labuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua PPM Labuan, Asisten Superintendan Mohamad Ismail berkata, operasi akan membantu mengehadkan pergerakan komuniti maritim di perairan Labuan dan menguatkuasakan pematuhan perintah berkenaan.

Pengarah MKN Labuan, Nurzalizah Kartika Abdullah pula berkata, operasi itu menunjukkan tidak ada sesiapa terkecuali daripada pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan dan meskipun sektor perkapalan serta minyak dan gas dikecualikan, namun operasi mereka pada skala yang minimum. - Bernama