Gobind suka masak!

Gobind Singh Deo - Foto Bernama
Gobind Singh Deo - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING – Di sebalik kesibukan menggalas tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo tetap mencari masa untuk memasak bagi keluarganya serta mendengar muzik.

Hobi menarik seperti memasak untuk isteri, Sangeeta Kaur Sindhu dan tiga anaknya serta mendengar muzik membantu anak jati kelahiran Pulau Pinang itu mengurangkan stres dan mengembalikan tenaga untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara

Beliau berkata, memasak adalah salah satu terapi untuk lari seketika daripada kesibukan tugasan hariannya sebagai menteri, wakil rakyat (Anggota Parlimen Puchong) dan Timbalan Pengerusi DAP.

“Sekiranya berpeluang memasak, masakan tempatan seperti kari menjadi pilihan saya, tetapi ada satu syarat iaitu isteri tidak boleh masuk ke dapur...biarkan saya yang masak sendiri,” katanya sambil berseloroh ketika ditemu bual bersama stesen radio Sarawakfm di RTM Kuching, hari ini.

Menteri berusia 45 tahun itu berkata, selain memasak, mendengar muzik juga merupakan antara hobi beliau kerana ia dapat menenangkan jiwa dan fikiran selepas seharian membanting tulang bekerja.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Gobind berkata RTM Sarawak perlu memperkukuhkan lagi perkhidmatannya dalam menyampaikan maklumat ke seluruh negeri itu.

“Dekati bangsa dan kaum yang terdapat di Sarawak melalui penggunaan bahasa tempatan yang diamalkan kaum terbabit bagi mengetahui masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat setempat.

“Kementerian mahu pastikan perkhidmatan itu dapat diterima oleh semua masyarakat di negeri ini dan semua maklumat yang perlu disalurkan itu dapat disampaikan ke segenap pelusuk negeri ini,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: