Waktu operasi pengangkutan awam dihadkan mulai esok: Ka Siong

Warga Kota patuh pada arahan dengan menjarakkan diri sejauh satu meter sebagai salah satu cara mengekang Covid-19 ketika berada di dalam tren ketika tinjauan di sini hari ini.
 -Foto Bernama
Warga Kota patuh pada arahan dengan menjarakkan diri sejauh satu meter sebagai salah satu cara mengekang Covid-19 ketika berada di dalam tren ketika tinjauan di sini hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Mod pengangkutan awam di seluruh negara hanya akan dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi ke 10 pagi dan 5 petang ke 10 malam sahaja setiap hari berkuat kuasa esok (25 Mac) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi kenyataan hari ini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu selaras dengan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkaitan mod pengangkutan awam darat.

Ini termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua bas perantara, perkhidmatan rel Aliran Transit Ringan (LRT), monorel dan Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Bagaimanapun, perkhidmatan teksi dan e-hailing masih boleh meneruskan operasi seperti biasa, mengikut garis panduan yang telah ditetapkan sebelum ini," katanya.

Ka Siong berkata, keputusan itu adalah sukar untuk dibuat memandangkan mod pengangkutan awam merupakan mod pengangkutan yang menjadi kebergantungan masyarakat khususnya golongan B40.

"Namun begitu, bagi memastikan PKP dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selari dengan tujuannya iaitu memutuskan rantaian jangkitan pandemik Covid-19 dengan mengelakkan orang ramai daripada berhimpun termasuk di dalam pengangkutan awam, tempat perhentian atau stesen dan terminal," katanya.

Beliau berkata, terdapat laporan mengenai penurunan peratusan penumpang yang menggunakan mod pengangkutan awam sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac hingga 22 Mac lepas.

Ini termasuk pengangkutan bas termasuk bas henti-henti, bas percuma seperti GoKL dan Smart Selangor, semua bas perantara dengan penurunan sebanyak 91.63 peratus.

Artikel Berkaitan:

Komuter pula mencatatkan penurunan 89.25 peratus, Rapid Rail termasuk LRT, MRT dan monorel penurunan 95.09 peratus dan ERL pengurangan 87.08 peratus bagi tempoh yang sama.

Ka Siong berkata, namun buat masa ini perkhidmatan bas ekspres di Semenanjung Malaysia masih diteruskan operasinya bertujuan menyediakan keperluan yang terhad kepada individu yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan penting sahaja.

"Sekali lagi saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak keluar dari rumah, melainkan sekiranya benar-benar perlu sahaja bagi memastikan keberkesanan PKP dalam memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ketika ini," katanya. - Bernama