Cuepacs saran kerajaan beri bantuan kecemasan RM1,500

Adnan Mat . - Foto Sumber Internet
Adnan Mat . - Foto Sumber Internet
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian bantuan kecemasan sebanyak RM1,500 kepada rakyat yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, golongan yang terjejas terdiri daripada peniaga dan penjaja kecil yang tidak dapat beroperasi.

Harus diingatkan juga katanya, mereka tidak mempunyai caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk dikeluarkan seperti mana rakyat yang bekerja.

"Sudah pasti mereka tidak dapat menjalankan perniagaan mereka sepanjang tempoh PKP, tetapi mereka tetap perlu meneruskan kehidupan yang biasa seperti rakyat Malaysia yang lain.

"Bantuan ini sedikit sebanyak membantu golongan ini mempunyai modal tambahan untuk memulakan semula perniagaan selepas tempoh PKP berakhir," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Adnan berkata, Cuepacs juga menyambut baik inisiatif kerajaan terhadap kerangka tindakan bagi meringankan beban kewangan rakyat.

Bagaimanapun Cuepacs mencadangkan supaya kerajaan menyerap 2,000 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang dilantik secara kontrak ke jawatan tetap sebagaimana kekosongan sebanyak 10,675 dalam KKM ketika ini.

"Sementara itu, Cuepacs sangat berharap peralatan perlindungan diri (PPE) dapat dibekalkan dengan segera serta mencukupi untuk petugas.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan perkara yang berlaku hari ini Cuepacs banyak menerima aduan pekerja mengenai kelengkapan PPE yang tidak mencukupi malah telah menggunakan baju hujan dan kaedah ubah suai (modified) bahan yang ada untuk dijadikan PPE sementara.

"Ini amat menakutkan petugas dan rakyat yang berurusan dengan hospital. Justeru, Cuepacs mohon dipastikan kelengkapan PPE dibekalkan dengan secukupnya bagi mengelakkan risiko jangkitan Covid-19 kepada petugas," katanya.

Beliau juga mencadangkan supaya hanya satu tabung Covid-19 ditubuhkan iaitu di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

"Cuepacs mendapati terlalu banyak tabung Covid-19 ditubuhkan. Hanya perlu ada satu tabung tunggal sahaja di bawah Nadma. Ini bagi memudahkan penyelarasan penerimaan dan pemberian bantuan pada masa akan datang selain mengelakkan kekeliruan orang ramai," katanya.

Pada masa sama Cuepacs turut memohon agar Pekerja Sambilan Harian (PSH) lantikan Persekutuan diberi pembayaran penuh sepanjang PKP seperti mana inisiatif yang telah diumumkan kerajaan negeri.