MTEM cadang potongan cukai berganda bagi majikan terjejas Covid-19

MTEM mencadangkan kerajaan mempercepatkan pengeluaran dana kepada PKS yang telah lulus atau hampir lulus serta pembiayaan perniagaan mudah lulus.
MTEM mencadangkan kerajaan mempercepatkan pengeluaran dana kepada PKS yang telah lulus atau hampir lulus serta pembiayaan perniagaan mudah lulus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mencadangkan kerajaan untuk memberi insentif potongan cukai berganda kepada majikan yang membayar gaji kepada pekerja di bawah kategori cuti tanpa gaji terutamanya golongan B40.

Presidennya, Abd Halim Husin berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengurangkan impak kelembapan ekonomi pasca Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) koronavirus (Covid-19) berikutan industri kecil dan sederhana (PKS) adalah antara pemberi gaji terbesar dalam ekonomi Malaysia.

Menurutnya, jika insentif itu diberikan, ia akan menunjukkan keresahan rakyat yang berpendapatan rendah diberi perhatian dan kebajikan mereka lebih terjamin.

"Perbelanjaan yang dikenakan ke atas aktiviti boleh mengimbangi dua kali ganda berbanding keuntungan yang boleh dikenakan cukai.

“Contoh seperti Norway (dimana) kerajaannya sanggup membayar 75 peratus gaji pekerja PKS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Halim berkata, kerajaan perlu kreatif dan berani supaya kegiatan ekonomi negara dapat diteruskan bagi mengelakkan impak Covid-19 yang lebih teruk.

Beliau berkata, MTEM turut mencadangkan pengecualian dari pembayaran Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta cukai-cukai berkaitan pelancongan dan industri yang hilang punca pendapatan.

Walaupun langkah tersebut bakal mengurangkan kutipan cukai kerajaan, MTEM merasakan ia penting dan signifikan kepada kecairan dalam pasaran di samping mengurangkan tekanan kepada perniagaan terutamanya golongan PKS.

Artikel Berkaitan:

“Pengecualian cukai pelancongan sangat baik bagi mempromosi industri pelancongan yang terjejas teruk sepanjang permasalahan Covid-19 ini,” katanya sambil mencadangkan pengecualian tersebut dibuat daripada April sehingga Disember 2020.

Selain itu, MTEM mencadangkan kerajaan untuk mempercepatkan pengeluaran dana kepada PKS yang telah lulus atau hampir lulus serta pembiayaan perniagaan mudah lulus.

Abd Halim berkata, usahawan PKS dalam kategori syarikat pemula niaga dan mikro atau Nano amat memerlukan dana berbanding dengan syarikat yang lebih besar yang sudah kukuh.

“Bank-bank dan badan pembiayaan yang lain disarankan untuk mengeluarkan lebih banyak pinjaman mudah kepada usahawan-usahawan bagi memudahkan kecairan dan juga pembiayaan pembangunan semula perniagaan masing-masing yang telah jatuh disebabkan Covid-19.

“Kadar faedah sebanyak tiga hingga empat peratus adalah dicadangkan dan pembayaran pembiayaan antara lima hingga 10 tahun bagi membantu mereka kembali menyumbang bagi merancakkan ekonomi negara,” katanya. - Bernama