Dua restoran dikesan gantung ayat al-Quran palsu

Azman (kanan) melakukan pemeriksaan sewaktu operasi tersebut.
Azman (kanan) melakukan pemeriksaan sewaktu operasi tersebut.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua pengusaha restoran dikesan mengunakan ayat yang dipercayai menyerupai al-Quran bagi menarik pelanggan ke premis perniagaan mereka.

Tindakan tersebut terbongkar menerusi operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama agensi penguatkuasa berkaitan di beberapa premis sekitar Petaling Jaya hari ini.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata tindakan pengusaha restoran berkenaan mempamerkan kalimah yang menyerupai ayat Al Quran di premis adalah meragukan.

"Pihak kami dapati kalimah tersebut berbeza dengan ayat al Quran dan mampu mengelirukan pelanggan Muslim. Maka tindakan telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengikut Enekmen Jenayah Syariah Selangor 1995," katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, selain KPDNHEP dan JAIS, terdapat beberapa agensi lain turut sama dalam operasi itu antaranya Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Jabatan Imigresen Selangor dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Mengulas lanjut, Azman berkata JAIS turut menyita semua kalimah-kalimah terlibat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan selepas ini berhubung perkara itu.

"Pemilik premis berkenaan juga akan dipanggil bagi memberi keterangan kepada JAIS selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, Azman berkata operasi yang memasuki hari kelima di seluruh Selangor itu juga turut menitik beratkan aspek kebersihan bagi memastikan pengguna yakin untuk menikmati juadah di premis terlibat.

Artikel Berkaitan:

Bagi tujuan itu, beliau berkata Pejabat Kesihatan Daerah Petaling turut bertindak tegas dengan menghentikan operasi di sebuah restoran yang didapati gagal mematuhi aspek kebersihan.

"KPDNHEP dan agensi-agensi terlibat akan meneruskan operasi pemeriksaan ini dalam usaha untuk memastikan semua pengusaha restoran mematuhi undang-undang ditetapkan khususnya dalam aspek halal," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jais, Salwana Ahmad Dahlan berkata pihaknya menggalakkan pengusaha restoran untuk membuat permohonan persijilan halal melalui laman web rasmi jabatan tersebut.

Tambah beliau, JAIS sedia membantu mana-mana pihak yang berhasrat untuk mendapatkan persijilan halal tersebut.

"Kita sedia membantu dengan syarat pihak berkenaan juga sedia untuk dibantu bagi mendapatkan persijilan halal ini," katanya.