PLUS tunda pelaksanaan tol RFID

Pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan RFID di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya PLUS dan LPT2 ditunda ke tarikh baharu berikutan penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
Pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan RFID di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya PLUS dan LPT2 ditunda ke tarikh baharu berikutan penularan wabak Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menunda pelaksanaan sistem kutipan tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) di semua plaza tol sistem tertutup di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) ke tarikh baharu berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, semua ujian dan kerja progresif berkaitan sistem berkenaan dihentikan sementara bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi memastikan keselamatan dan kesihatan kakitangan PLUS serta pelanggan lebuh raya.

“Semua persiapan untuk memastikan persediaan RFID di semua lebuh raya kendalian PLUS akan disambung sejurus tempoh PKP berakhir.

“Kami percaya bahawa PKP adalah langkah penting untuk melindungi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan bukan sahaja kepada petugas kami malah kepada semua rakyat Malaysia daripada risiko Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pelaksanaan sistem kutipan tol RFID itu melibatkan 83 plaza tol sistem tertutup lebuh raya PLUS dan 10 plaza tol di LPT2.

Azman berkata, PLUS akan mengumumkan tarikh baharu bagi pelaksanaan kutipan tol menerusi RFID itu selepas tempoh PKP berakhir.

Sebelum ini, PLUS menyatakan pelaksanaan pembayaran tol RFID itu akan dimulakan pada 1 April ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: