X

Kindly register in order to view this article
!

Penjawat awam sedia potong gaji untuk Tabung Covid-19 Pahang

Dr Sallehuddin
A
A

KUANTAN - Prihatin dengan nasib golongan yang terjejas ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19), 10,000 penjawat awam negeri Pahang bersedia memotong gaji mereka untuk disumbangkan ke Tabung Covid-19 Pahang.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, mereka terdiri penjawat awam lantikan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan-badan berkanun negeri Pahang.

Menurutnya, melalui usaha dan pengorbanan penjawat awam yang prihatin itu, dianggarkan RM100,000 sebulan dapat dikumpulkan untuk disumbangkan ke tabung tersebut.

“Usaha kecil ini merupakan pengorbanan penjawat awam negeri Pahang bersolidariti bersama rakyat di negeri ini memikul beban mereka yang terjejas.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, banyak pihak yang telah terjejas termasuk penjaja, peniaga makanan, pemandu teksi dan banyak lagi justeru menyedari kesukaran dihadapi mereka, penjawat awam negeri Pahang terpanggil untuk bersama-sama memikul beban tersebut,” katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa pengurusan Bencana Negeri berkata, pihaknya turut mengambil inisiatif menghasilkan Peralatan Perlindungan Diri (PPE) secara Do It Yourself (DIY) melalui badan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Penjara Negeri Pahang.

Menurutnya, bekalan PPE sangat kritikal ketika ini dan ia merupakan salah satu perlindungan utama untuk petugas-petugas barisan hadapan.

“Hasil perbincangan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, timbul inisiatif untuk membuat PPE secara DIY memandangkan keperluan ini mendesak.

“Usaha ini mendapat reaksi positif dan akan melibatkan NGO seperti Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita), Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat), Puteri UMNO dan beberapa NGO lain,” katanya.

Dr Sallehuddin berkata, pihak Penjara Penor dan Penjara Bentong juga turut akan bekerjasama dalam menyediakan PPE ini.

“Diharapkan usaha kecil ini akan dapat membantu petugas-petugas kesihatan yang amat memerlukan. Saya menyeru agar lebih ramai Rakyat Pahang turut serta dalam usaha ini,” katanya.