X

Kindly register in order to view this article
!

Bank Rakyat lancar kempen bantu individu, perniagaan terjejas Covid-19

A
A

BANK Rakyat mengambil langkah proaktif dalam membantu individu dan perniagaan yang terjejas daripada kesan ekonomi akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang berterusan dengan menawarkan pelbagai bantuan kewangan.

Bank tersebut telah mewujudkan kempen ‘Bank Rakyat Cares’ yang tertumpu kepada tiga produk Bank Rakyat iaitu Pembiayaan Berjangka-i untuk usahawan mikro, Pembiayaan Berjangka-i untuk Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan koperasi serta Kad Kredit-i.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Bank Rakyat memperuntukkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM200 juta.

"Ini merupakan sebahagian daripada usaha Bank bagi membantu usahawan dan koperasi untuk menangani masalah kewangan mereka dan membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek akibat kesan wabak Covid-19.

"Kempen yang bermula dari 23 Mac sehingga 30 September 2020 diharap dapat membantu usahawan dan koperasi mengekalkan kesinambungan perniagaan masing-masing dan dapat melonjakkan semula ekonomi negara sepanjang tempoh yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Rosman Mohamed berkata, kempen itu akan memberi manfaat kepada hampir lapan juta pelanggannya.

Ini termasuklah juga pelanggan Kad Kredit-i yang diberikan diskaun kadar keuntungan sebanyak 50 peratus apabila membuat pengeluaran tunai.

“Dengan cara ini, pelanggan bukan sahaja mempunyai lebihan tunai tetapi dikenakan kadar keuntungan yang lebih rendah daripada kadar keuntungan sedia ada.

"Inisiatif ini membolehkan Bank Rakyat membantu pelanggan kad kreditnya yang 30 peratus daripadanya terdiri daripada golongan B40 untuk menguruskan keperluan harian mereka,” tambah beliau.

Rosman berkata, inisiatif tersebut adalah sebahagian program bantuan kewangan sedia ada termasuk moratorium pembayaran balik pembiayaan selama enam bulan yang ditawarkan kepada semua individu dan perniagaan yang terjejas seperti yang diumumkan pada 8 Februari 2020.

Kempen ‘Bank Rakyat Cares’ bagi Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (Usahawan Mikro) terbuka kepada semua sektor yang layak termasuk borong atau runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan.

Perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM50,000 bagi tempoh sehingga lima tahun.

Bank menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan yang terjejas.

Selain itu, 50 peratus yuran guaman ditanggung oleh bank.

Bagi Pembiayaan Khas Bank Rakyat Cares (PKS dan Koperasi) ia terbuka kepada semua sektor yang layak termasuk borong atau runcit, pertanian dan berasaskan pertanian, pelancongan dan kesihatan, pengangkutan serta perkhidmatan.

Perniagaan yang layak boleh memperoleh pembiayaan sehingga RM200,000.00 bagi tempoh sehingga lima tahun.

Bank tersebut menawarkan penangguhan sementara sehingga sembilan bulan bagi bayaran balik pembiayaan bulanan bagi pemilik perniagaan yang terjejas.

Termasuk 50 peratus yuran guaman ditanggung oleh bank.

Bagi pengeluaran Tunai Kad Kredit-i, ia terbuka kepada pemegang kad utama dan tambahan Kad Kredit-i kecuali pemegang Kad Kredit-i Korporat.

Tiada jumlah minimum atau had yang dikenakan atas jumlah urus niaga pengeluaran tunai.

Kadar keuntungan yang dikenakan bagi urus niaga pengeluaran tunai dikurangkan sebanyak 50 peratus sepanjang tempoh kempen.

Pengeluaran tunai adalah tertakluk pada had kredit sedia ada

Pada masa yang sama, usahawan juga boleh memohon Kemudahan Bantuan Khas di bawah tabung Bank Negara Malaysia yang terbuka kepada PKS bagi membantu perniagaan dan isi rumah yang terjejas oleh wabak Covid-19.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web Bank Rakyat dan emel ke [email protected] dengan butiran anda untuk tindakan selanjutnya atau hubungi tele-Rakyat di 1-300-80-5454 untuk bantuan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!