Tangguh prosiding saman FGV, akan didengar pada 15 Mei

FGV
FGV
A
A
A
KUALA LUMPUR - Lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV Holdings Berhad (FGV) memohon penangguhan prosiding bagi saman yang difailkan oleh syarikat berkenaan ke atas mereka berhubung dakwaan kerugian yang dialami dalam pengambilalihan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.

Peguam Fahda Nur Ahmad Kamar, yang mewakili lima individu itu memberitahu bahawa permohonan itu akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon pada 15 Mei.

“Anak guam saya akan memohon untuk penangguhan prosiding itu sementara menunggu keputusan rayuan kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuntutan balas mereka terhadap FGV dan 10 yang lain. Bagaimanapun, tidak ada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan itu di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Lima individu itu ialah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan oleh FGV dan 10 lain membatalkan tuntutan balas yang dikemukakan oleh lima bekas pengarah itu.

Lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV sebagai plaintif, memfailkan tuntutan balas itu selepas FGV menyaman mereka berjumlah RM514 juta atas kerugian yang dialami syarikat susulan pengambilalihan APL.

Mereka memfailkan tuntutan balas itu pada 11 Februari 2019, menamakan syarikat berkenaan dan 10 yang lain sebagai pihak pembelaan.

10 mereka yang lain ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 November 2018, FGV menyaman bekas presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain sejumlah RM514 juta dan kerugian yang lain.
Artikel Berkaitan:


Empat lagi pihak pembela ialah pengerusi FGV ketika itu, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bekas ketua pegawai kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha, bekas naib presiden (Kluster Pembangunan Perniagaan Hiliran) Farisan Mokhtar, dan bekas pengurus besar kanan (Kluster Hiliran) Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas pengarah bukan eksekutif - Ismee, Wan Abdul Aziz, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan menjelaskan bahawa saman itu berhubung pengambilalihan syarikat itu terhadap 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL menerusi tawaran tunai bersyarat sukarela pada tahun 2014. - Bernama