MPK kuat kuasa arahan kawalan operasi di Pasar Besar Sena

Anggota tentera di 4 Renjer Rejimen Sempadan Bukit Cowder membantu polis ketika mengadakan sekatan jalan raya. - Foto Bernama
Anggota tentera di 4 Renjer Rejimen Sempadan Bukit Cowder membantu polis ketika mengadakan sekatan jalan raya. - Foto Bernama
A
A
A
KANGAR - Majlis Perbandaran Kangar (MPK) telah menguatkuasakan arahan kawalan operasi di Pasar Besar Sena bermula 22 hingga 31 Mac depan berdasarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Yang Dipertua MPK, Wan Ahmad Fazli Wan Kamis berkata, jalan masuk ke Pasar Besar Sena dihadkan kepada satu sahaja iaitu jalan masuk utama ke Pasar Besar Sena di bawah arahan kawalan operasi berkenaan.

Menurutnya, semua jalan lain ke Pasar Besar Sena adalah ditutup untuk semua kenderaan manakala tempat meletak kenderaan pelanggan adalah di tempat parkir UTC Kangar.

"Pergerakan keluar masuk pelanggan ke Pasar Besar Sena hanya boleh menggunakan satu pintu sahaja iaitu Pintu Timur yang menghadap ke tapak parkir UTC Kangar.

"Semua pelanggan akan disaring penguatkuasa bertugas," katanya dalam satu notis pemberitahuan baru-baru ini.
Artikel Berkaitan:


Wan Ahmad Fazli berkata, kemasukan pelanggan dihadkan mengikut kesesuaian bagi mengelakkan kesesakan dan hanya seorang wakil setiap keluarga dinasihatkan melakukan pembelian di Pasar Besar Sena.

"Antara lain, pelanggan dan peniaga dinasihatkan untuk mengamalkan kaedah penjagaan diri seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu memakai topeng muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman," katanya.

Katanya, semua pelanggan dinasihatkan menjarakkan diri dengan pengguna lain sekurang kurangnya jarak satu meter (m) dan mematuhi arahan penguatkuasa sepanjang masa berada di Pasar Besar Sena.