Nelayan terapung 15 jam guna tin biskut diselamatkan : APMM

Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid. Foto Sumber Internet
Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid. Foto Sumber Internet
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang nelayan warga tempatan terapung selama 15 jam di laut dengan hanya berpaut pada tin biskut sebelum diselamatkan oleh orang awam di kedudukan tiga batu nautika timur Sedili Besar, Tanjung Sedili, dekat sini pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid, berkata, mangsa dikenali sebagai Ayub Musa, 35, seorang awak-awak sebuah bot nelayan tempatan dipercayai terjatuh ke laut tanpa disedari oleh rakan sekerjanya, jam 5 petang Ahad.

“Mangsa yang terjatuh sempat berpaut pada tin biskut yang ditemui terapung di laut serta bernasib baik telah dijumpai oleh nelayan tempatan pada jam 8 pagi semalam dalam keadaan lemah.

"Mangsa kemudiannya dibawa APMM ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili dan seterusnya ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan awal," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Aminuddin mengingatkan komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan dalam menghadapi wabak koronavirus (Covis-19).

Beliau berkata, pemantauan berterusan pihak Maritim Malaysia sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan berlaku penurunan aktiviti laut di perairan Johor Timur.

"Hanya aktiviti perkapalan komersil dan penangkapan ikan oleh nelayan berlesen sahaja dibenarkan dan segala aktiviti bersifat reakreasi termasuk memancing adalah dilarang.

"Operasi bagi memastikan PKP terlaksana dengan baik bukan sahaja di darat tetapi di laut juga dititik beratkan oleh APMM selain daripada tugas penguatkuasaan undang-undang serta operasi mencari dan menyelamat di Zon Maritim Malaysia," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: