Duta negara Arab yakin Kerajaan Malaysia mampu tangani Covid-19

Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakukan kerja-kerja pembersihan di setiap ruang pejabat sebagai langkah pencegahan. - Foto Bernama
Kakitangan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melakukan kerja-kerja pembersihan di setiap ruang pejabat sebagai langkah pencegahan. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Duta-duta Arab di Malaysia yakin kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu untuk menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Duta Yaman ke Malaysia, Dr Adel Mohamed BA Hamid berkata, kedutaannya menyokong penuh inisiatif, langkah serta keputusan Kerajaan Malaysia berhubung usaha membendung wabak itu.

“Bagi kerajaan dan rakyat Yaman, kami menyatakan sokongan penuh dan bersama-sama saudara kami di sini untuk membasmi penularan wabak ini dan yakin kerajaan Malaysia serta Kementerian Kesihatan (KKM) mampu menanganinya.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan Malaysia, kami (kedutaan) memandang serius langkah ini dan menggesa rakyat Yaman yang menetap di sini sentiasa mematuhi setiap arahan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Bernama.

Dr Adel berkata, sehingga kini, tiada rakyat Yaman di Malaysia dijangkiti virus itu dan pihaknya akan terus memantau.

Sementara itu, Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan berkata, pihaknya yakin semua langkah diambil kerajaan Malaysia demi melindungi rakyat dan penduduk termasuk pegawai diplomatik serta warga asing.

Menurutnya, langkah berkenaan bertujuan mengehadkan penyebaran Covid-19, sejajar dengan usaha antarabangsa.

“Langkah sama turut diambil banyak negara termasuk kerajaan Arab Saudi...perjuangan membanteras virus ini memerlukan penerapan undang-undang yang ketat daripada kerajaan mahupun rakyat, dengan cara ini pasti akan menyumbang secara positif dalam mengurangkan rantaian jangkitan.

“Kami (kedutaan) percaya usaha bersepadu di peringkat kebangsaan, antarabangsa dan serantau merupakan cara paling pantas serta efektif bagi membasmi penularan virus ini,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Duta Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia Khalid Ghanim Mohammad Al-Ghaith memuji tindakan pantas kerajaan Malaysia.

Khalid berkata, usaha itu membuktikan kerajaan serius dalam menjaga keselamatan dan kesihatan rakyat.

“Selaras dengan arahan kerajaan Malaysia dan Wisma Putra, kami menutup pejabat Kedutaan UAE di sini dan beroperasi dari rumah bermula 18 hingga 31 Mac,” katanya.

Duta UAE itu turut menyatakan kesediaan negaranya untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam membasmi Covid-19, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengiktiraf UAE sebagai negara contoh dalam menangani penularan virus berkenaan.

Duta Mesir ke Malaysia Gamal A. Metwally berkata, arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan Malaysia merupakan langkah penting untuk negara dan rakyatnya, khususnya ketika peningkatan kadar jangkitan.

Gamal berkata, Kedutaan Mesir di sini komited mematuhi langkah itu dengan mengarahkan semua kakitangannya bekerja dari rumah.

“Pekeliling turut diedarkan kepada komuniti Mesir di Malaysia dengan mengarahkan semua rakyat Mesir mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan negara ini,” katanya.

Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata, Palestin mendoakan supaya ALLAH SWT memelihara Malaysia dan rakyatnya serta memperoleh kejayaan dalam menempuhi ujian dan saat yang sukar ini.

“Saya memohon rakyat Palestin yang menetap di Malaysia sentiasa peka dan mematuhi arahan pihak berkuasa...kami (rakyat Palestin) sentiasa menganggap Malaysia umpama rumah kedua kami.

“Kami memberhentikan operasi di kedutaan dan menggantikan sistem dalam talian sebagai pelan alternatif bagi memastikan perkhidmatan untuk rakyat kami di sini dapat diteruskan," katanya.

Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Bahrain di Malaysia, Maram AlSaleh berkata, langkah-langkah yang diambil kerajaan Malaysia amat bertepatan, yakin negara ini mampu mengawal penularan dan keadaan akan pulih seperti biasa.

Pada 16 Mac lalu, Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Ini adalah pertama kali dalam sejarah, Malaysia menguatkuasakan perintah seumpama itu.

Perintah itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya. - Bernama