X

Kindly register in order to view this article
!

Surat terbuka kepada Perdana Menteri

Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Bernama
A
A

Surat Terbuka kepada:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri Malaysia

Perang ke atas Covid-19: Masa untuk tindakan dan kepimpinan

Mukadimah

1. Pandemik Covid-19 dikatakan peristiwa global yang paling mengganggu dalam sejarah moden – sesuatu yang belum pernah berlaku pada skala dan impak yang sebegini besar ke atas persekitaran ekonomi dan kualiti kehidupan. Kita tidak pasti sejauh mana pandemik ini akan berterusan dan sejauh mana Malaysia akan terjejas, tetapi kemungkinan pandemik ini beralih kepada krisis meningkat dengan setiap masa yang berlalu. Dalam apa jua keadaan, pandemik ini dan juga kesan langsungnya akan berterusan buat beberapa ketika, mungkin untuk tempoh 12 hingga 18 bulan lagi.

2. Pandemik ini perlu ditangani secara tegas, rancangan untuk berbuat demikian perlu disampaikan dengan jelas dan dilaksanakan dengan cara yang memelihara integriti institusi di negara ini, dan seterusnya keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan. Mengekalkan fabrik masyarakat dan perpaduan negara adalah sama pentingnya dengan menguruskan pandemik ini dan impaknya.

3. Kepimpinan negara hendaklah dilihat sebagai tegas dan padu dengan kepentingan rakyat sebagai satu-satunya objektif. Kebijaksanaan dan kepantasan membuat keputusan adalah amat penting. Ini bukanlah masa untuk berjiwa kecil dan berpihak atau partisan.

4. Kami akan mengemukakan pandangan dalam tiga bahagian, yang diolah daripada tiga isu umum:

a. Menguruskan pandemik: Tindakan segera diperlukan untuk mengenal pasti dan merawat pesakit yang berjangkit awal, memerlukan kakitangan di barisan hadapan yang terlatih dan dilindungi dengan baik, sumber dan infrastruktur.

b. Menguruskan yang terkesan: Tindakan segera untuk menangani golongan yang tersisih dan terkesan secara negatif melalui tindakan bagi menguruskan pandemik di samping memastikan kesinambungan penyediaan keperluan asas, kemudahan awam dan perkhidmatan sosial.

c. Menguruskan ekonomi dan bersedia untuk persekitaran pasca krisis; keputusan untuk menguruskan pandemik dan mereka yang terkesan mempunyai akibat yang mesti dijangka dan diuruskan.

5. Dalam menyatakan pandangan dan cadangan ini, kami sedar bahawa ini adalah masa yang tidak normal, yang diumpamakan seperti masa perang. Pertimbangan biasa - mengenai kekangan fiskal, defisit belanjawan, siling hutang, sasaran pertumbuhan atau agensi penarafan – tidak terpakai. Rakyat Malaysia mesti diutamakan. Kita perlu menggerakkan kesemua sumber untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan.

6. Kedua, prinsip penentu untuk menetapkkan keutamaan adalah:

a. Kakitangan kesihatan barisan hadapan mendapat keutamaan pertama.

b. Selebihnya, prinsip ekuiti terpakai – mana-mana yang memanfaatkan paling ramai orang mesti diutamakan.

c. Kita perlu menerima akan ada beberapa kelemahan dan kompromi- tetapi ini bukannya masa untuk menekankan kesempurnaan sehingga menjejaskan yang baik dan yang diperlukan.

7. Kami mencadangkan "rangsangan fiskal" untuk melangsungkan perbelanjaan penggunaan rumah tangga dan perniagaan dalam tempoh yang sukar ini - untuk mencegah masalah aliran tunai daripada menjadi krisis insolvensi yang akan membawa kepada masalah pengangguran besar-besaran dan masalah-masalah lain yang berkaitan.

Menguruskan pandemik

8. Walaupun kadar kematian Covid-19 adalah lebih rendah daripada jangkitan virus yang lain seperti SARS1 dan MERS, ia sangat mudah berjangkit. Menguruskan jangkitan atau penularan memerlukan ujian, pengasingan dan rawatan awal bagi yang telah berjangkit terutamanya golongan yang paling terdedah, yang merupakan warga emas. Oleh itu, strategi adalah untuk membendung jangkitan supaya sistem penjagaan kesihatan tidak lumpuh – apa yang dipanggil pendekatan ‘meratakan keluk atau lengkung’.

9. KKM telah menyediakan rancangan untuk membina kapasiti, meratakan keluk atau lengkung melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) dan untuk memperluaskan ujian saringan, dan menggerakkan penyedia penjagaan kesihatan swasta dan awam. Ini adalah langkah-langkah yang diambil secara global. Korea adalah terkecuali dalam tidak mengenakan sekatan pergerakan tetapi ia menggunakan teknologi untuk mengesan pergerakan.

10. Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan langkah-langkah yang diguna pakai oleh Kerajaan Perancis misalnya untuk membantu dan melindungi kakitangan perkhidmatan kesihatan barisan hadapan:

a. Semua topeng dan pakaian pelindungan diutamakan kepada hospital, pengamal perubatan, jururawat dan semua kakitangan sokongan.

b. Penyediaan pengangkutan, lojing dan penginapan untuk semua kakitangan di barisan hadapan.

c. Penguatkuasaan yang kukuh terhadap mana-mana pencatutan peralatan perlindungan dan perubatan serta perkhidmatan, termasuk ujian.

11. Dalam kita menguruskan kecemasan semasa, rancangan perlu dibuat untuk tempoh 12 ke 18 bulan akan datang selepas kita berjaya melambatkan kadar jangkitan dan strategi kawalan PKP berakhir. Ini merangkumi keperluan untuk membangunkan keupayaan penjagaan kesihatan yang panjang di rumah.

12. Komunikasi oleh KKM yang umumnya profesional, mempunyai impak yang terbatas setakat ini. Kami mencadangkan supaya komunikasi hanya disediakan oleh para profesional perubatan yang hanya berasaskan kepada fakta dan sains. Walau bagaimanapun, banyak lagi perlu dilaksanakan terhadap kedua-dua media cetak dan penyiaran tradisional serta media sosial yang baru, terutamanya untuk membetulkan salah maklumat yang agak banyak dan karut yang terus menjadi sangat berpengaruh dan kadangkala mengelirukan. Pasukan Petugas Khas perlu menyokong KKM dalam usaha ini.

Menguruskan golongan terkesan

13. Akibat yang tidak dapat dielakkan dalam mengekang Covid-19 adalah bahawa ia akan mempunyai kesan buruk yang ketara ke atas ekonomi. Langkah berskala besar perlu diwujudkan untuk menguruskan penguncupan kegiatan ekonomi.

Individu dan isi rumah

14. PKP telah memberi kesan negatif kepada kehidupan berjuta-juta isi rumah yang mempunyai tahap pendapatan dan simpanan yang rendah sebelum pandemik Covid-19. PKP telah menjejaskan pendapatan ramai peniaga kecil yang menyediakan sumber makanan dan bekalan-bekalan lain. Sebagai contoh, pasar tani atau pasar malam merupakan sumber pendapatan mereka dan juga sumber makanan dan bekalan yang mampu dibeli oleh kebanyakan isi rumah.

15. Terdapat juga mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau pendapatan disebabkan PKP termasuk mereka yang telah diberikan kerja separuh masa atau cuti tanpa gaji. Bagi individu dan isi rumah ini, Lanjutan PKP akan terus menjejaskan kehidupan mereka.

16. Perlu ada langkah segera untuk memberikan wang tunai kepada mereka yang terjejas bagi meneruskan kehidupan mereka dalam tempoh ini. Contoh yang dilaksanakan oleh kerajaan lain – di UK dan Perancis sebagai contoh - dalam hal ini perlu dipertimbangkan. Kad MY, pangkalan data BSH serta program e-Wallet telah tersedia untuk melaksanakan pindahan tunai tersebut. Program Pengekalan Pekerja PERKESO yang baharu diumumkan juga boleh diperluaskan dengan lebih ketara untuk memberi pampasan kepada kehilangan pekerjaan dan pendapatan, termasuk mereka yang bekerja sendiri.

17. Selain wang tunai, mereka yang terkesan dengan PKP mungkin memerlukan perumahan sementara dan penginapan, dan kemudahan tersebut hendaklah disediakan. Ada kes di mana pelajar dan golongan terpinggir terkandas disebabkan oleh PKP.

Perniagaan

18. Perniagaan sangat terkesan, termasuk perniagaan yang pada asasnya berdaya maju. Sokongan perlu disasarkan untuk memastikan bahawa perniagaan boleh melepasi keadaan yang sedang kita alami. Ini terutamanya bagi PKS – majikan terbesar negara kita secara kolektif. Mereka menyediakan pekerjaan kepada hampir 10 juta pekerja dan secara kolektif mereka telah meminjam lebih RM300 bilion daripada bank. Mengurangkan kebimbangan mereka memberikan lebih banyak ruang untuk IKS dan juga pekerja mereka. Sebagai contoh, UK telah menjamin 80 peratus daripada semua upah pekerja sehingga GBP2, 500. Walaupun sudah ada langkah-langkah yang diumumkan untuk melindungi PKS sebagai sebahagian Pakej Rangsangan Ekonomi (ESP), lebih banyak boleh dilakukan bagi memastikan akses yang berterusan kepada pembiayaan.

19. Sebagai contoh, dana yang disalurkan kepada institusi kewangan pembangunan (DFIs) hendaklah disediakan untuk semua perniagaan. Pada masa ini, kita harus menyokong keseluruhan ekonomi dan bukannya hanya sebahagian daripadanya. Bukan sektor yang berkaitan dengan pelancongan sahaja yang terjejas. Ini adalah untuk memastikan bahawa risiko kegagalan perniagaan dapat dikurangkan. Setiap perniagaan adalah majikan, pembekal, dan pembeli kepada seseorang. Dalam masa yang menguji ini, kita perlu meminimumkan kegagalan perniagaan, terutamanya PKS yang maju.

20. Cara pantas untuk memberikan bantuan kepada PKS adalah melalui Jaminan kerajaan bagi pinjaman yang diberi oleh bank. Ini telah digunakan dengan berjaya dan efektif semasa krisis 2009 melalui syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan(MKD), Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan Berhad, yang menguruskan jaminan kerajaan dan bekerjasama dengan bank.

21. Dua jenis perkhidmatan – perkhidmatan kerajaan yang berkaitan dengan pendaftaran, lesen, permit dan perkhidmatan asas utiliti seperti air, elektrik dan telekomunikasi – masih perlu bagi ekonomi tetapi caj bagi perkhidmatan tersebut perlu diberi potongan khas sementara bagi memudahkan pertimbangan aliran tunai, bagi kedua-dua isi rumah dan perniagaan.

22. Kerajaan perlu membentuk satu platform kolaboratif dengan semua syarikat yang menyediakan perkhidmatan asas ini untuk memastikan bekalan yang berterusan dan pada masa yang sama menangani keperluan kewangan untuk melaksanakannya.

Rantaian Bekalan

23. Rantaian bekalan global telah pun terganggu oleh konflik perdagangan sebelum wabak Covid-19. Pandemik Covid-19 dan langkah-langkah yang telah diambil untuk membendungnya, terutamanya kawalan pergerakan, terus mengganggu rantaian bekalan, sesuatu yang sangat penting untuk ekonomi terbuka seperti kita.

24. Kami bimbang tentang rantaian bekalan makanan dan bekalan penting lain. Malaysia mengimport makanan bernilai lebih daripada RM50 bilion – daripada sayur-sayuran segar, sehingga ke daging, bijirin termasuk beras dan makanan yang diproses. Menyedari bahawa perniagaan yang kebanyakannya beroperasi pada tahap inventori yang minimum, gangguan dalam rantaian bekalan pasti akan memberi kesan kepada peruncit. Kini, kesemua tiga mod pengangkutan; udara, laut dan darat telah terganggu teruk.

25. Senarai bahan makanan penting dan keperluan penting lain mesti disediakan dan bekalan mereka diperolehi, dengan jangkaan bahawa keadaan sekarang akan berlanjutan selama 12 hingga 18 bulan lagi. Pandangan strategik terhadap stok simpanan mungkin perlu diwujudkan untuk memastikan makanan adalah mencukupi.

26. Sekurang-kurangnya, negara mesti mendapatkan bekalan sumber makanan yang dihasilkan dalam negara, terutamanya ayam dan telur di mana negara adalah pengeksport, dan juga barangan makanan import utama yang sebahagiannya dihasilkan dalam negara seperti beras, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Menguruskan ekonomi dan penyusunan semula selepas krisis

27. Walau apa jua usaha, ekonomi akan menguncup tahun ini. Gangguan ekonomi akan berlaku. Ada pekerjaan yang akan hilang, dan perniagaan yang akan gagal. Persekitaran ekonomi selepas krisis ini akan sangat berbeza daripada tahun lalu setelah ekonomi global pulih daripada pandemik ini.

28. Krisis ini telah dan akan mempercepatkan penggunaan teknologi yang akan menggantikan tenaga manusia secara yang ketara. Fenomena ini memang pun sedang berlaku sebelum ini dan perancangan pembangunan sumber manusia dan penyediaan sokongan kepada mereka yang terjejas perlu diadakan dengan teliti. Pengangguran akan menjadi masalah utama ekonomi selepas krisis ini.

29. Keadaan kewangan kerajaan dijangka akan menjadi bertambah teruk. Ianya telah pun teruk dan ia akan menjadi lebih teruk selepas ini. Oleh itu, keutamaan perlu diberikan untuk menjana pertumbuhan khususnya pertumbuhan baru. Kerajaan juga perlu meluaskan sumber hasilnya.

30. Adalah jelas bahawa kita memerlukan kerjasama serantau yang lebih baik dari segi ekonomi dan untuk tujuan yang lebih umum, sebagai asas pertumbuhan emonomi masa depan serta untuk menangani krisis yang sama pada masa akan datang. Krisis ini juga menunjukkan betapa pentingnya untuk menjaga hubungan dengan rakan dagangan utama kita.

Komunikasi dan Ketelusan

31. Terdapat keperluan mendesak untuk ketelusan dan komunikasi yang lebih efektif – yang konsisten dan benar. Komunikasi kerajaan mesti berada pada asas yang tinggi dan rakyat mesti mempercayainya. Ini adalah masa di mana keyakinan dan kebolehpercayaan sangat diperlukan. Sekiranya kerajaan memutuskan untuk menyembunyikan maklumat mengenai krisis kesihatan seperti ini atas apa jua sebab, kehilangan kepercayaan dan kredibiliti akan memberikan akibat yang sangat buruk.

Kesimpulan

32. Kini adalah masa untuk perpaduan negara dan politik yang tidak berpihak. Keupayaan kita untuk menangani pandemik ini dan akibat segera serta yang berikutnya bergantung kepada keseluruhan sumber dalam negara. Ia memerlukan lebih daripada apa yang boleh ditawarkan oleh kepimpinan politik. Ia memerlukan setiap rakyat Malaysia.

33. Kerajaan Persekutuan mempunyai sumber yang paling banyak untuk merancang dan melaksanakan, tetapi kedua-dua perancangan dan pelaksanaan hendaklah dilakukan secara usahasama dengan negeri dan pertubuhan bukan kerajaan. Kepantasan pelaksanaan adalah kunci dan ia perlu desentralisasi sebanyak mungkin. Halangan birokrasi mesti diminimumkan dalam tempoh ini.

34. Kami amat bimbang dengan inisiatif-inisiatif yang tidak bersepadu oleh kerajaan dalam krisis yang semakin berkembang ini. Kami tidak bersetuju dengan perspektif belanjawan seimbang tradisional pihak Perbendaharaan kerana negara-negara lain di dunia, terutamanya Asia Timur, bertindak balas dengan agresif, menyedari bahawa kali ini ianya adalah berbeza.

35. Pada tahun 2009, berikutan krisis kewangan global, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan berjumlah hampir RM60 bilion. Pakej itu adalah untuk merangsang ekonomi berikutan krisis kewangan. Apa-apa pakej yang kita lakukan sekarang bukan semata-mata untuk merangsang ekonomi, ia adalah untuk menyelamatkan nyawa dan untuk melindungi rakyat Malaysia daripada krisis kesihatan hidup dan mati. Jika kita boleh membelanjakan RM60 billion untuk merangsang ekonomi daripada krisis kewangan, pastinya kita boleh membelanjakan lebih banyak untuk melindungi semua rakyat Malaysia daripada krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku.

36. Kami berharap pandangan yang kami kemukakan di atas adalah berguna dan kami bersedia untuk menghuraikannya dengan lebih lanjut sekiranya diperlukan. Kami bersedia untuk dibuktikan salah tetapi kami merasa ngeri dengan kemungkinan ianya separuh benar. Apa pun jua kadarnya, kami menggesa kerajaan untuk menunjukkan kepimpinan dan bertindak dengan pantas.

*Dr Nungsari Ahmad Radhi ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah

*Hamdan Abdul Majeed ialah Pengarah Eksekutif di Think City

*Dr Muhammed Abdul Khalid ialah bekas Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri Kelapan, Tun Dr Mahathir Mohamad


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus