Pengeluaran bulanan KWSP tingkat penggunaan swasta: Pakar ekonomi

Anggota Polis dan Tentera tetap membuat sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan penduduk walaupun dalam keadaan cuaca hujan di Jalan Labuk hari ini. Anggota Polis dan Tentera mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di daerah ini berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto Bernama
Anggota Polis dan Tentera tetap membuat sekatan jalan raya untuk mengawal pergerakan penduduk walaupun dalam keadaan cuaca hujan di Jalan Labuk hari ini. Anggota Polis dan Tentera mengadakan sekatan jalan raya di beberapa kawasan di daerah ini berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini bagi mengekang penularan COVID-19. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Langkah yang baru diumumkan untuk membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun mengeluarkan wang sehingga RM500 setiap bulan bagi tempoh setahun akan membantu meningkatkan penggunaan swasta yang seterusnya dapat mengurangkan impak pandemik koronavirus (Covid-19) ke atas ekonomi Malaysia.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, inisiatif itu yang bermula bulan depan akan dapat membantu rakyat yang berada dalam kategori pendapatan rendah.

Langkah itu yang disambut baik oleh rakyat juga membantu ahli KWSP tidak aktif yang mana sebahagian mungkin mempunyai akaun dengan dana pencen itu tetapi akaun tidak aktif.

“Langkah itu adalah wajar kerana ia akan meningkatkan pendapatan boleh guna mereka walaupun seketika kerana skim pengeluaran itu hanya satu langkah sementara.

“Tambahan tunai itu boleh digunakan bagi keperluan asas seperti makanan, bil utiliti dan membayar sewa. Ia boleh membantu meningkatkan penggunaan kerana kumpulan berpendapatan rendah dan pertengahan cenderung mempunyai Kecenderungan Mengguna Marginal (MPC) yang tinggi,” katanya kepada Bernama.

MPC adalah metrik yang mengukur penggunaan teraruh.

Terdahulu pada satu sidang media khas hari ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan pengeluaran i-Lestari bagi pencarum KWSP berjumlah RM40 bilion.

Menerusi kemudahan itu, semua ahli KWSP yang berumur bawah 55 tahun boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing, tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama 12 bulan.

Artikel Berkaitan:

Permohonan boleh dibuat bermula 1 April 2020.

“Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan berjumlah RM40 billion.

“Saya berharap inisiatif ini dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak 4.0 peratus yang berkuat kuasa pada bulan April 2020 akan membolehkan para pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang keperluan harian,” kata Muhyiddin.

Sehingga Disember 2019, ahli KWSP berjumlah 14.59 juta manakala ahli aktif KWSP seramai 7.63 juta.

Mohd Afzanizam berkata, dengan mengambil kira angka-angka itu, sektor informal yang akan mendapat manfaat daripada ini dijangka sekitar 4.37 juta ahli.

Sementara itu, seorang ahli ekonomi lain berkata, skim pengeluaran tersebut sudah pastinya akan membantu mengurangkan impak COVID-19 ke atas ekonomi tetapi sumbangannya terhad kerana tidak semua rakyat Malaysia menyumbang kepada KWSP.

“Hanya 10 juta orang boleh berbuat demikian, manakala sebahagian besar lagi (rakyat) tidak terlibat kerana tiada caruman KWSP.

“Ia boleh mengurangkan (impak), tetapi kita perlu membantu kategori miskin lain iaitu kumpulan B40. Kumpulan ini akan diambil kira dalam langkah akan datang yang akan diumumkan minggu depan,” katanya. - Bernama