Usah dilupakan golongan tiada KWSP: Ahli akademik

Seorang penumpang membeli tiket feri di Terminal Feri Penumpang Kuah di sini hari ini. -Foto Bernama
Seorang penumpang membeli tiket feri di Terminal Feri Penumpang Kuah di sini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan diharap turut memberi perhatian kepada golongan yang tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang juga terkesan berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) dalam merangka inisiatif tambahan kelak.

Pensyarah kanan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keprihatinan kerajaan dalam menyediakan inisiatif berkaitan akan dapat melindungi mereka yang tiada caruman dengan dana persaraan itu.

Beliau berkata ada sebahagian rakyat khususnya peniaga kecil sangat terkesan dengan penularan jangkitan Covid-19 selain impak Perintah Kawalan Pergerakan, justeru, perancangan susulan perlu dilakukan segera oleh kerajaan untuk membantu mereka.

“Dalam situasi begini, institusi kerajaan yang mempunyai autonomi kewangan dan bidang kuasa boleh membantu menerusi pengecualian sewa atau bantuan segera kewangan kepada peniaga berdaftar dan berlesen.

“Sementara itu institusi agama seperti zakat dan masjid yang mempunyai pendapatan besar boleh memainkan peranan lebih aktif membantu golongan ini,” katanya kepada Bernama.

Mohammad Tawfik berpendapat secara amnya langkah membenarkan 12 juta ahli KWSP mengeluarkan simpanan yang dijangka berjumlah RM40 bilion bermula 1 April, dapat membantu kerajaan untuk lebih menumpukan penyaluran dana lebih besar kepada sektor kesihatan negara.

“Pastinya (inisiatif itu) memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia khususnya pekerja sektor swasta untuk mempunyai wang tunai tambahan.

“Tunai tambahan ini penting kerana kadar belanja isi rumah ketika Perintah Kawalan Pergerakan akan semakin meningkat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, belanjawan negara sebelum ini lebih banyak diperuntukkan kepada sektor pendidikan, oleh yang demikian, kini sektor kesihatan sewajarnya memperoleh kedudukan yang sama dari segi dana.

“Pembinaan hospital baharu juga perlu mengikut nisbah penduduk dan doktor. Negara juga memerlukan teknologi yang lebih maju, serta penambahan warga kerja sektor kesihatan awam di kawasan pedalaman.

“Standard di negara maju, nisbah doktor kepada pesakit adalah 1:400. Namun kita masih lagi tertinggal jauh dengan nisbah 1:758,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli berkata, golongan pekerja boleh berbelanja menggunakan tambahan wang tunai yang ada sekali gus membantu meningkatkan aliran tunai di dalam sistem ekonomi negara.

Perbelanjaan isi rumah ini, terutama ke atas barangan pengguna, adalah seiring dengan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara yang dijangka lembap sehingga suku ketiga tahun ini.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dijangka berkembang pada kadar lebih rendah iaitu 3.6 peratus hingga 4.0 peratus tahun ini berbanding unjuran awal 4.8 peratus.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pencarum KWSP berumur bawah 55 tahun dibenarkan membuat pengeluaran daripada Akaun 2 bermula 1 April bagi meringankan beban mereka ketika menghadapi cabaran Covid-19.

Initiatif pengeluaran i-Lestari itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan sebanyak RM40 bilion. - Bernama