FPK lahirkan pelajar pasif

A
A
A

DALAM artikel lepas yang bertajuk Dayusnya Falsafah Pendidikan, saya telah mengkritik FPK (Falsafah Pendidikan Kebangsaan) kerana ia tidak mempunyai objektif yang jelas untuk melahirkan insan yang kompetitif dan memiliki daya saing global. Insan yang seimbang dan harmonis yang diperjuangkan oleh FPK tidak semestinya bersifat kompetitif. Bahkan mungkin bersifat dayus! Sifat kompetitif perlu ditonjolkan dalam FPK. Kalimah kompetitif langsung tidak wujud dalam FPK. Apakah kesannya?

FPK ingin mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI). Benarkah insan boleh dibahagikan kepada 4 ‘segi’ yang bernama JERI ini, kemudian dicantumkan 4 ‘segi’ ini supaya mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis?

Saya ingin fokus pada kalimah ‘intelek’. Dalam al-Quran, perkataan intelek ('aql) tidak wujud sama sekali. Intelek atau akal dalam bahasa Melayu merupakan kata nama sama seperti kata nama rokok dan buku.

Kata nama merujuk kepada benda yang bersifat statik seperti rokok dan buku tetapi kata kerja merujuk kepada perbuatan dan aktiviti seperti merokok dan membaca. JERI adalah kata nama, bukan kata kerja. Setiap insan di andaikan sekadar mempunyai empat benda atau segi dalam dirinya. Tujuan pendidikan ialah mewujudkan insan yang seimbang dan harmoni antara empat ‘benda’ ini.

Kita bagi contoh, seorang anak yang ada dua benda iaitu mata dan mulut. Adakah tepat untuk menasihati seorang ibu agar mewujudkan anak yang seimbang dan harmoni dari segi mata dan mulut? Atau lebih tepat untuk menasihati ibu supaya mewujudkan anak yang melihat dengan teliti dan bertutur dengan hikmah?

Mata dan mulut adalah kata nama seperti kata nama intelek. Ia bersifat statik dan pasif. Tentulah lebih tepat kalau FPK menggunakan kata kerja seperti ‘berfikir’ kerana ia memberi makna yang aktif, amali, praktis.

Bagi guru yang tahu taksonomi Bloom, ia juga telah diluaskan daripada kata nama kepada kata kerja. Contohnya, ia berubah daripada kata nama ‘pengetahuan’ kepada kata kerja ‘mengetahui’ dan daripada ‘pemahaman’ kepada ‘memahami’. Bahkan UNESCO pun menggunakan kata kerja iaitu "learning to do, to be, to live together, to know" (belajar untuk melakukan, mengenal diri, hidup bersama, mengetahui).

Kata

Artikel Berkaitan:

Kita kembali kepada al-Quran yang tidak menggunakan kata nama ‘aql (intelek). Al-Quran hanya guna kata kerja ya’qil (berfikir secara intelektual). Juga dalam Surah al-Asr, kita lihat kata kerja digunakan iaitu insan yang tidak rugi ialah insan beriman, beramal soleh, saling menasihati tentang kebenaran dan saling menasihati tentang kesabaran. Semua perkataan ini iaitu beriman, beramal, menasihati adalah kata kerja aktif!

Surah al-Asr tidak menggunakan kata nama. Ayatnya tidak berbunyi berikut: Insan yang tidak rugi ialah insan yang seimbang dan harmonis dari segi keimanan, amal soleh, kebenaran dan kesabaran.

Insan kompetitif ialah insan yang aktif. FPK sekadar ingin mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis. Mengapa tidak mewujudkan insan yang secara aktif mampu mengimbangi dan mengharmonikan?

Insan yang seimbang adalah bersifat pasif tetapi insan yang mengimbangi adalah bersifat aktif. Insan yang harmonis adalah produk pendidikan tetapi insan yang mengharmonikan adalah peneraju yang giat dalam usaha pengharmonian.

Bila perkataan kompetitif tidak wujud dalam kamus FPK, kesannya FPK tidak melahirkan peneraju kerana seorang peneraju adalah bersifat aktif, kompetitif dan bukan sekadar seimbang tetapi mengimbangi, bukan sekadar bangkit tetapi membangkitkan.

Lahirkanlah insan yang bukan sekadar seimbang dan harmonis dari segi kata nama-kata nama tetapi menerajui dari segi kata kerja-kata kerja.